Saya menyambut baik pengumuman oleh Menteri bertanggungjawab tentang hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam (17/3/2021) bahawa pasukan-pasukan pelaksanaan SOP akan dibentuk dan pihak berkuasa kesihatan dan polis akan diarahkan hanya mengeluarkan kompaun sebagai pilihan terakhir setelah nasihat dan arahan mereka tidak dipatuhi. Ini adalah bahagian terpenting dalam pengumuman Menteri dan bukan kompaun berperingkat dan diskaun kompaun yang juga diumumkan. Hampir semua rakyat Malaysia akan mematuhi SOP sekiranya diberi amaran dan diingatkan oleh polis untuk mematuhi SOP dan dengan itu, tidak ada keperluan untuk mengeluarkan kompaun. Sudah menjadi cadangan saya agar kompaun dikeluarkan hanya setelah amaran diberikan dan ia tidak diendahkan sejak kenyataan media pertama saya yang dikeluarkan pada 30 Januari 2021 mengenai kompaun yang dikeluarkan oleh polis.
Saya meminta Menteri untuk memasukkan bahagian ini yang terpenting dalam pengumumannya ke dalam peraturan SOP yang akan diwartakan. Sekiranya ia tidak diwartakan, ia akan menjadi janji kosong sahaja seperti apa yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara mengenai kompaun RM10,000-00. Pada mulanya dia mengatakan bahawa kompaun RM10,000.00 hanya dikenakan ke atas pesalah-pesalah berulang dan mereka yang didapati menyebarkan Covid-19 tetapi kemudian bertukar pendirian mengatakan bahawa kompaun RM10,000.00 terpakai untuk semua kes.
Menteri, bagaimanapun, gagal menjawab isu terpenting yang saya bangkitkan, iaitu kompaun yang dikeluarkan oleh polis, pegawai Kementerian Perdagangan dan Industri atau pegawai kementerian lain selain Kementerian Kesihatan adalah tidak sah atas alasan berikut: –
- Di bawah Akta 342 hanya Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai kesihatannya yang diberi kuasa olehnya [mengikut peraturan tafsiran Ejusdem generis (sama jenis)] yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun berkenaan. Sebagai contoh, di bawah Akta Perikanan, hanya pegawai-pegawai perikanan yang diberi kuasa untuk mengendalikan kes-kes perikanan dan mengeluarkan kompaun berkenaan. Begitu juga kompaun tempat letak kereta hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai kerajaan tempatan. Polis tidak dibenarkan berbuat demikian. Polis dipanggil untuk membantu kementerian lain hanya untuk membantu menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
- Seksyen 25 Akta 342 seperti yang dipinda oleh Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dengan jelas menyatakan bahawa kompaun hanya dapat dikeluarkan dengan keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya. Saya difahamkan bahawa kompaun yang dikeluarkan setakat ini dilakukan tanpa keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya.
Oleh itu, saya meminta Menteri untuk mengisytiharkan bahawa semua kompaun yang telah dikeluarkan bukan oleh pegawai kementerian kesihatan dan/atau tanpa keizinan bertulis Pendakwa Raya adalah tidak sah dan ditarik balik.