Skip to content

Pemberhentian 156 profesor bukti campur tangan eksekutif dalam bidang akademik

Menurut laporan media yang memetik kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN), seramai 156 atau 33 peratus daripada 507 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di universiti awam tidak akan dilanjutkan perkhidmatan susulan kekangan bajet.

Campur tangan eksekutif

Sementara kita boleh bersetuju secara dasarnya dengan saranan MPN agar golongan profesor (dan tenaga akademik secara umumnya) diletakkan di bawah satu suruhanjaya berlainan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Tinggi dan bukannya di bawah skim Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, cadangan ini secara tersendiri tidak akan menyelesaikan masalah struktur dalam sistem pendidikan tinggi negara kita.

Penamatan kontrak 156 profesor ini hanyalah sebahagian daripada masalah yang timbul apabila segala keputusan pentadbiran dan akademik masih lagi dibuat oleh agensi pusat – Kementerian Pendidikan Tinggi – dan bukannya Lembaga Universiti.

Cadangan pemindahan atau sebenarnya, pengembalian, kuasa kepada universiti telah banyak dibincangkan, malah telah dinyatakan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, 2007-2020 (PSPTN). Kita kini berada dalam fasa ke-4 (2016-2020) PSPTN, namun malangnya, cadangan untuk penyerahan kuasa autonomi universiti secara beransur-ansur bukan sahaja tidak berlaku pada kadar yang ditetapkan, malah pemberhentian 156 profesor ini jelas membuktikan campur tangan eksekuti dalam pentadbiran akademik universiti semakin terserlah.

Seharusnya, keputusan untuk melantik atau menamatkan perkhidmatan mana-mana kakitangan akademik haruslah dibuat oleh Lembaga Universiti berdasarkan pertimbangan kepentingan ilmu semata-mata, dan bukannya oleh para eksekutif kerajaan berdasarkan keputusan politik atau kegagalan kerajaan untuk mengurus kewangan negara.

Kembalikan autonomi akademik

Justeru, kuasa autonomi universiti, khususnya dalam hal ehwal akademik, yang disekat melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Akujanji harus dipulihkan dengan segera. Pada masa yang sama, Piagam Universiti seharusnya diwujudkan sebagai garis panduan untuk mentadbir keperluan akademik termasuk pertambahan atau pengurangan kakitangan akademik serta urusan disiplin.

Sudahlah usaha melatih pakar dalam kalangan pelajar cemerlang negara ini telah terjejas akibat pemotongan peruntukan biasiswa JPA baru-baru ini, profesor-profesor yang merupakan tenaga pakar sedia ada pula ditamatkan perkhidmatan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan telah kehilangan keutamaan mereka, khususnya apabila program dan agensi yang tidak mempunyai manfaat masih diteruskan. Apakah kerajaan percaya bahawa negara ini lebih memerlukan “pemikir-pemikir” seperti Lokman Adam di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berbanding 156 orang profesor yang pakar dalam pelbagai bidang bagi melatih dan mendidik modal insan negara ini?