Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Kedua Tahun 2017, namun begitu SPR masih belum mengadakan sebarang pendengaran berhubung bantahan yang difailkan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Berdasarkan kepada Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, SPR akan mempamerkan Rang DPT di seluruh negara selama 14 hari untuk semakan orang awam termasuk parti-parti politik.
Sebelum ini, SPR akan mengedarkan Rang DPT kepada parti-parti politik bagi tujuan semakan, tetapi amalan ini diberhentikan tahun ini. Keengganan SPR tersebut menyusahkan parti-parti politik kerana mereka perlu bergegas ke tempat yang ditetapkan dalam tempoh dua minggu untuk kerja semakan. Sesetengah ahli parti politik telah membawa mesin photostate ke tempat pameran untuk memudahkan kerja semakan.
DAP Perak amat mengambil berat isu pengundi hantu. Bagi memastikan Daftar Pemilih SPR bersih, DAP Perak menubuhkan Pasukan Penangkap Hantu untuk mengenalpasti dan membantah pengundi hantu. Saya amat menghargai usaha kakitangan yang bekerja siang dan malam untuk mengenalpasti nama pemilih yang mencurigakan dalam had masa yang ditetapkan. DAP Perak akhirnya mengemukakan bantahan ke atas 180 orang pemilih yang meragukan, termasuk 51 orang dari Daerah Manjung.
Berdasarkan sub peraturan 15(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) (Pindaan) 2012, setiap bantahan dikenakan bayaran RM10. Sekiranya bantahan ditolak, pembantah dikehendaki membayar pampasan sebanyak RM100 kepada pemilih baru. Sebagai tanda protes isu pengundi hantu dan keengganan SPR untuk bekerjasama, DAP Perak telah membawa lebih kurang 20,000 keping syiling semasa mengemukakan bantahan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak.
Menggesa SPR Tetapkan Tarikh Pendengaran Bantahan
Sekiranya bantahan yang dikemukakan oleh DAP adalah sah, SPR perlu memadamkan nama pengundi hantu supaya Daftar Pemilih SPR bersih daripada pengundi hantu. Saya berharap SPR dapat menetapkan tarikh pendengaran bantahan sebelum Rang DPT Suku Ketiga Tahun 2017 dipamerkan.