Skip to content

Pemberian bonus akhir tahun 1/2 bulan hasil pentadbiran CAT yang bersih

6 Disember, 2016

Salam sejahtera,

PEMBERIAN BONUS AKHIR TAHUN 1/2 BULAN HASIL PENTADBIRAN CAT YANG BERSIH

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 adalah Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam melaksanakan tata kelola yang baik dan bersih. Ianya terbukti dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Transparency International kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Urus tadbir Kerajaan Negeri yang bersih membolehkan lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM574 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu. Jelas sekali, sepanjang lapan (8) tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang, jauh lebih berkesan daripada 50 tahun sebelum ini.

Hasil lebihan belanjawan setiap tahun membolehkan Kerajaan Negeri memberikan Bantuan Khas Kewangan atau bonus tanpa mengambil kira kadar bonus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, yang lazimnya kurang daripada kadar pemberian Kerajaan Negeri. Ia hanya dapat dilakukan kerana Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun dengan menjalankan sistem pentadbiran yang bersih tanpa rasuah.

Pulau Pinang mempunyai rekod cemerlang dalam perakaunan dalam pengurusan kewangan yang disahkan oleh Jabatan Audit Negara. Malah, Pulau Pinang adalah negeri yang paling awal membentangkan penyata kewangan. Pengurusan kewangan Negeri Pulau Pinang yang baik ini mendapat pujian setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara.

Justeru itu, sebagai menghargai sumbangan dan tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada Perkhidmatan Awam Negeri serta mengambil kira kos inflasi dan peningkatan kos hidup yang begitu ketara kerana kenaikan harga barangan termasuk minyak petrol, minyak masak dan bahan-bahan subsidi yang lain, sukacitanya Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan 1/2 atau 50% daripada sebulan gaji pokok penjawat awam atau minimum RM700.00.

Kerajaan Negeri turut meluluskan bayaran bonus tambahan sebanyak 1/4 atau 25% daripada sebulan gaji pokok kepada penjawat awam yang tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi 4 hari sehingga November 2016 serta tidak diluluskan cuti sakit tambahan di bawah Peraturan 17 (a) Perintah Am Bab C sebagai insentif kehadiran kerja.

Pembayaran 1/2 bulan gaji tersebut melibatkan keseluruhan 4,178 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dengan jumlah RM4.19 juta. Anggaran bagi pembayaran bonus tambahan 1/4 atau 25% daripada sebulan gaji pokok, masih belum dapat ditentukan.

Pemberian bonus ini juga turut dipanjangkan kepada seramai 1,502 Penyelia dan Guru KAFA, 225 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 522 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300.00 seorang dan RM200.00 seorang kepada seramai 279 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM786,000.00.

Kesemua bayaran bonus akan dibayar pada 22 Disember 2016.

Adalah diharapkan bayaran bonus ini akan meningkatkan semangat Anggota Perkhidmatan Awam Negeri untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun mendatang. Marilah kita bersama-sama berusaha gigih dalam merealisasikan aspirasi ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan serta dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kepada Negeri Pulau Pinang yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang