Skip to content

Pemikiran kumpulan (Group Think), dasar tanpa perancangan dan pembuatan keputusan tidak kompeten oleh PN memerlukan perubahan untuk membenarkan kerajaan negeri menentukan sekatan dan SOP PKP bagi operasi perniagaan

Keputusan secara tiba-tiba untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor tanpa bergantung kepada sains dan data telah menimbulkan rasa suram dan sengsara di kalangan penduduk tempatan. Ramai orang di negeri lain khuatir apakah keputusan seperti itu akan dibuat secara sepihak sahaja tanpa perundingan dengan kerajaan negeri.

PKPD adalah kaedah tumpul yang digunakan pada penyelesaian “satu kaedah untuk semua” yang bukan hanya menghukum tingkah laku buruk tetapi juga tingkah laku yang baik di antara mereka yang mematuhi SOP COVID-19 dan tidak mempunyai kes COVID-19. Hakikatnya, ramai yang dihukum bukan atas kesalahan mereka sendiri, dengan kesan kewangan yang buruk bagi pengusaha perniagaan. Sebulan penuh PKP “total lockdown” telah menyaksikan kenaikan dan bukannya pengurangan jumlah jangkitan COVID-19, maka sepatutnya terdapat penilaian semula terhadap keberkesanan PKP “total lockdown”.

Jelas bahawa Kerajaan Persekutuan PN bukanlah jalan penyelesaian untuk masalah kita tetapi sebenarnya merupakan masalah itu sendiri. Pemikiran kumpulan, dasar tanpa perancangan dan pembuatan keputusan yang tidak kompeten oleh Menteri PN memerlukan perubahan untuk membolehkan kerajaan negeri menentukan sekatan dan SOP PKP bagi operasi perniagaan. Kecuali adanya pemikiran baharu, Kerajaan PN akan terus melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang berbeza.

Pendekatan PKP secara bersasar yang menggunakan sains dan data berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang terbukti berjaya dengan pelaksanaan saringan massa untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’, serta program vaksinasi yang cepat dan lancar, adalah harapan terbaik kita untuk memenangi perang terhadap COVID-19. DAP telah mencadangkan tambahan RM4 bilion untuk pelaksanaan saringan massa dan juga meningkatkan sistem sokongan kesihatan kita yang sedang tertekan, termasuk memberi jawatan tetap kepada 35,216 pegawai kesihatan kontrak yang terdiri daripada 23,077 pegawai perubatan, 5,000 pegawai pergigian dan 7,139 pegawai farmasi.

Kerajaan Persekutuan PN harus mengakui bahawa pendekatan berpusat telah gagal menghasilkan hasil yang diinginkan dan perlu memberi peluang kepada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk menguruskan COVID-19 di kawasan masing-masing. Contohnya adalah empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mengenepikan negeri dengan kes jangkitan harian yang rendah. Tidak ada alasan untuk negeri-negeri ini dihukum sama seperti negeri lain yang mempunyai jangkitan harian yang lebih tinggi.

Masanya sudah tiba untuk desentralisasi dengan membenarkan kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk memutuskan apa pendekatan terbaik bagi sekatan PKP atau waktu operasi perniagaan di kawasan masing-masing. Ini juga akan mendorong akauntabiliti dan ketelusan berbanding formula “satu kaedah sesuai untuk semua”. Marilah kita memberi ganjaran kepada mereka yang mematuhi SOP COVID-19.