Skip to content

Pemilih dipindah-pindah seperti buah catur

Kerajaan Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng digesa menjelaskan motif dan muslihat kejadian 298 orang pemilih di Jalan Sin Nam, Simpang Renggam dipindahkan seperti buah catur untuk mengundi di Parlimen P148 Ayer Hitam dua tahun lalu dan mengapakah perkara ini tidak diperbetulkan sehingga sekarang?

Pihak SPR telah mengubah pembahagian bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri menurut subseksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) dan diwartakan pada 29 April 2016. Seramai 139,384 pemilih dari seluruh negeri Johor terjejas di bawah pembahagian ini termasuk 298 pemilih di Jalan Sin Nam, Simpang Renggam yang telah dipindahkan untuk mengundi di Ayer Hitam yang terletak 20km jauhnya dari tempat kediaman mereka.

Melalui bantuan daripada DAP Cawangan Simpang Renggam kami telah membantu sebahagian pemilih terbabit membetulkan kesilapan ini. Bagaimana pun, kesilapan ini tidak dapat diselesaikan sepenuhnya disebabkan keadaan serba kurang yang kami hadapi.

Kerajaan Barisan Nasional khasnya Liang Teck Meng selaku Ahli Parlimen Simpang Renggam wajib menjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia apakah udang di sebalik batu pembahagian ini? Adakah ini SPR menjalankan pembahagian ini atas arahan daripada Barisan Nasional sebagai sesuatu muslihat untuk mempertahankan kemenangan mereka di P151 Simpang Renggam? Jika tidak, mengapakah perkara ini tidak dapat diperbetulkan sehingga dua tahun selepas kesilapan ini sehingga 271 pemilih di sana masih terpaksa bergerak jauh ke pusat mengundi yang terletak lebih 20 km jauhnya dari kediaman mereka semasa PRU akan datang?

Menurut pemerhatian dan lawatan tapak kami, sekiranya pemilih di Jalan Sin Nam ingin mengundi di pusat mengundi yang terletak di Ayer Hitam perjalanan yang paling pendek adalah 22.5 km memakan masa sekurang-kurangnya 23 minit.

Oleh kerana hampir semua pemilih yang terjejas merupakan pemilih kaum Cina dan telah beberapa kali Barisan Nasional khasnya UMNO telah menyifatkan bahawa golongan pemilih ini lebih cenderung kepada mengundi parti pembangkang, adakah pembahagian kali ini dibuat untuk meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional di kedua-dua Parlimen P148 Ayer Hitam dan P151 Simpang Renggam?

Sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang tidak wajar berlepas tangan sahaja tanpa membuat apa-apa. Liang seharusnya membetulkan kesilapan ini secepat mungkin supaya 271 orang pemilih di Jalan Sin Nam yang masih ditempatkan mengundi di Ayer Hitam dapat diperbetulkan dan mengundi di Simpang Renggam bagi menyokong calon yang benar-benar dapat mewakili suara hati mereka.