Skip to content

Pemimpin BN Perak sudah melupai janji membina Sekolah Tamil Taman Kaya

Saya rasa amat kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa menganak tirikan sekolah-sekolah vernakular. Apabila pilihanraya umum semakin hampir, pelbagai gimik ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dengan membantu sekiolah-sekolah vernakular.

Macam-macam janji ditaburkan untuk menipu rakyat supaya memenangi undi mereka. Semua ini merupakan permainan politik yang sudah menjadi lazim kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dari dulu lagi.

Selepas pilihanraya, sekolah-sekolah vernakular tidak lagi mendapat perhatian kerajaan lagi. Sebagai satu contoh yang baik ialah mengenai sekolah Tamil di Taman Kaya, Taiping. Sewaktu pilihanraya kecil Bukit Gantang, kerajaan telah menjanjikan sebuah sekolah Tamil yang baru di Taman Kaya, Taiping.

Selepas pilihanraya kecil itu, kerajaan telah menjadi senyap berhubung dengan perkara itu. Kemudian, sebelum pilihanraya umum pada tahun 2013, sekali lagi rakyat- rakyat kawasan itu menjadi mangsa muslihat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Negeri Perak termasuk Menteri Besar Perak Dato Seri Diraja Zambry Abdul Kadeer.

Menteri Besar Perak dan kuncu-kuncunya telah meluluskan sebidang tanah di Taman Kaya untuk pembinaan sebuah sekolah Tamil di kawasan itu yang mempunyai lebih kurang 2000 keluarga kaum India. Selepas pilihanraya umum ke 13, Barisan Nasional telah menjadi senyap semula mengenai sekolah Tamil yang baru itu.

Inilah perangai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang sentiasa menipu rakyat untuk kepentingan politik mereka. Saya pasti pemimpin-pemimpin ini akan bangkit dari tidur sekali lagi apabila pilihanraya umum ke 14 tiba. Sekali lagi, mereka akan menanam tebu di tepi bibir  dengan melontarkan pelbagai janji kosong kepada masyarakat India.  Mereka akan membuat pelbagai gimik, termasuk majlis pecah tanah dan sebagainya apabila pilihanraya semakin hampir.

Saya berasa amat malu dengan sikap segelintir pemimpin masyarakat India di kawasan itu yang tidak berani menyuarakan hasrat mereka. Apa lagi yang mereka tunggu? “Tanah sudah ada, wang peruntukan pun sudah ada, tetapi kerja-kerja pembinaan masih belum dimulakan”.

Adakah orang-orang yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah ini akan tidur sehingga pilihanraya akan datang? Cukuplah, masyarakat India tidak boleh ditipu lagi dengan gimik kolot Barisan Nasional. Saya akan membuat lawatan tapak tidak lama lagi untuk mendapatkan gambaran penuh berhubung dengan isu sekolah Tamil Taman Kaya.

Saya juga tidak berniat untuk bertanya apa-apa kepada Timbalan Menteri Pendidikan  Datuk Kamalanathan, kerana mungkin beliau tidak tahu apa-apa mengenai hal sekolah ini. Beliau juga sibuk dengan hal perbalahan dalaman  parti  MIC.