Skip to content

Pemuda Harapan bertemu-tembung dengan Timbalan Menteri Kewangan Malaysia membincangkan keperluan golongan belia dalam Belanjawan 2022

Pada 19 Oktober 2021 yang lepas, Pemuda Pakatan Harapan telah dijemput oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk berkongsi input, pandangan dan cadangan dalam sesi libat urus perangkaan Belanjawan 2020 yang mempunyai aspirasi untuk menjadikannya lebih terangkum dan menyeluruh.

Sisi pandang yang mungkin tercicir sebelum ini, kini berpeluang untuk diketengahkan dalam belanjawan terpenting ini. Rombongan seramai sepuluh anggota kepimpinan Pemuda Harapan yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Pemuda Pakatan Harapan Sdr Howard Lee, telah menghadiri majlis tersebut bersama;

  • YB Akmal | Ketua AMK, MP Johor Baharu
  • YB Chua Wei Kiat – Ketua AMK Selangor Merangkap ADUN Rawang, Selangor
  • Thiban Subramaniam | Naib Ketua AMK
  • YB Phoong Jin Zhe |Setiausaha Publisiti DAPSY, ADUN Luyang, Sabah
  • Raja Ahmad Iskandar Fareez | Strategic communicator, Research for Social Advancement (REFSA) (DAPSY)
  • Mohd Ammar bin Atan | AJK Pemuda AMANAH Nasional
  • Ahmad Zubair bin Wan Ab Rahim | Naib Ketua Pemuda Amanah
  • Asim Abdullah bin Ainullotfi – SU Pemuda AMANAH Nasional
  • Musaddeq bin Khalid | Setiausaha Kerja (Sekretariat Pakatan Harapan Pusat)

Suara dan kehendak setiap warganegara khususnya golongan belia, yang sama-sama terkesan dek kerana endemik COVID-19 ini, telah kami bawa dan perjuangkan di dalam sesi libat urus ini dengan satu prinsip, menjulang kembali harapan untuk menyambut perubahan.

Usaha ini perlu disambut baik oleh semua pihak kerana ia sedaya upaya mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Malaysia dapat dipulihkan sebaik yang mungkin.

LATAR BELAKANG

Krisis kesihatan dan pengendalian COVID-19 memberi tamparan yang hebat kepada kelangsungan hidup masyarakat Malaysia, terutamanya belia dengan statistik pengangguran belia semasa yang teramat membimbangkan. Begitu ramai anak-anak muda kita kehilangan punca pendapatan untuk meneruskan hidup. Krisis pengurusan institusi pendidikan dan institusi pengajian tinggi berkemampuan melemahkan pemerolehan kemahiran warga belia dalam menghadapi dunia kerjaya. Krisis demi krisis ini menjadikan masa depan mereka amat terdedah kepada kegagalan.

Pemuda Pakatan Harapan menuntut supaya Belanjawan 2022 mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan murni untuk bertindak membaik pulih sistem di dalam tiga skop yang berikut:

  • Menyediakan pekerjaan kepada belia dan membina ekonomi masa hadapan;
  • Perlindungan sosial untuk semua;
  • Menjamin pergerakan belia dan kehidupan yang layak.

Kerja yang layak, upah yang layak, rumah yang layak, demi kehidupan yang layak

SKOP 1 | MENYEDIAKAN PEKERJAAN KEPADA BELIA

Tuntutan 1 | Graduates@Work

  • Melaksanakan program subsidi upah dan pengambilan pekerja bernilai RM 6 bilion bagi tempoh 5 tahun; dengan sasaran utama iaitu para graduan baharu;
  • Melalui program ini, atas pendekatan ‘place to train’, tawaran RM 500/bulan kepada pekerja dan RM 300/bulan kepada majikan dapat mencipta peluang pekerjaan kepada sekitar 250, 000 ke 300, 000 anak Malaysia. Tumpuan perlu juga diberi kepada mewujudkan pengiktirafan san akreditasi yang wajar bagi pelatih yang menerima latihan spesifik daripada majikan;
  • Setiap penerima subsidi berhak menerima manfaat selama 2 tahun;
  • Melonjakkan kebolehgajian dengan tambahan penyediaan latihan melalui koordinasi dengan pusat latihan seperti MySkills Foundation.

Tuntutan 2 | Mempermudah penjana pertumbuhan mesra belia

Ekonomi digital

  • Menyediakan geran berjumlah RM 500 juta untuk menggalakkan digitalisasi;
  • Menubuhkan One-Stop Digitalisation Centre untuk membantu para peniaga kecil dan sederhana untuk memohon insentif digitalisasi;
  • Memperuntukkan RM 250 juta bagi kemudahan internet pantas di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, untuk merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar;
  • Menubuhkan dana inovasi bagi kumpulan pembangunan aplikasi yang beroperasi menggunakan jaringan 5G.

Ekonomi penjagaan

  • Menyokong penuh ekosistem perkhidmatan penjagaan dengan melanjutkan program subsidi gaji kepada operator penjagaan;
  • Subsidi atau geran yang berpatutan perlu diperkenalkan dalam menyokong penambahan para guru bagi pendidikan awal kanak-kanak yang memerlukan kelayakan sijil diploma menjelang 2025;
  • Memperuntukkan sekurang-kurangnya RM 500 bagi setiap anak yang dihantar ke pusat penjagaan, untuk keluarga B40 dan M40 dan mereka yang kehilangan kerja;
  • Menubuhkan Pembiayaan Benih (seed funding) berjumlah RM 10 juta untuk mempromosikan perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti sebagai alternatif kepada institusi penjagaan;
  • Mewujudkan bantuan kewangan penjaga kepada golongan yang terputus mata pencarian dan keupayaan berkerja akibat daripada ahli keluarga atau tanggungan yang terlantar atau sakit sehingga perlukan penjagaan sepenuh masa- khususnya golongan belia.

Sukan

  • Subsidi sewa premis sebanyak 50% atau maksimum RM 5, 000 kepada premis yang tidak dibenarkan beroperasi. Pengendalian perniagaan di dalam premis kerajaan harus diberikan pengecualian sewa;
  • Geran Digitalisasi RM 10, 000 untuk membantu perniagaan sukan dalam menerima pakai teknologi digital, seiring dengan norma baharu;
  • Geran Khas Prihatin Untuk Industri Sukan (One-off) sebanyak RM 2, 000 bagi mereka yang mengalami kerugian;
  • Bantuan bulanan RM 1, 000 kepada individu bekerja-sendiri di dalam industri sukan yang terkesan;
  • Bantuan reskilling dan upskilling sebanyak RM 1, 000 bagi mereka yang melanjutkan pemerolehan sijil jurulatih dan sukan.

Pemerkasaan Acara Sukan

  • Menaiktaraf infrastruktur sukan berprestasi tinggi;
  • Melanjutkan peruntukan tetap persatuan sukan Olimpik dan SUKMA ke peringkat Negeri. Pihak berkuasa Negeri bertanggungjawab menentukan skop kelayakan;
  • Menyediakan subsidi bagi ujian dan kuarantin;
  • Menyediakan akses yang lebih berkemampuan bagi pengangkutan dan logistik.

Pertanian

Subsidi bagi pertanian vertikal dan hidroponik, termasuklah geran dan pengecualian cukai bagi pengendali pertanian vertikal di bandar.

Tuntutan 3 | Mengurangkan kacau ganggu terhadap pendidikan

  • Menyediakan Negara ke arah pembelajaran yang hybrid (digital dan fizikal);
  • Menyediakan subsidi atau geran kepada belia B40 dengan akses kepada peranti pembelajaran dalam talian.

SKOP 2 | PERLINDUNGAN SOSIAL UNTUK SEMUA

Tuntutan 1 | Menggandakan bayaran kebajikan

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi mengkaji semula bayaran kebajikan, dan meningkatkan kepada RM 2, 500 (miskin tegar), RM 1, 900 (B40) dan RM 1, 100 (M40)

Tuntutan 2 | Manfaat anak sejagat

Manfaat sebanyak RM 100 – RM 150 untuk setiap anak sebulan bagi kanak-kanak yang berumur sehingga 12 tahun.

Tuntutan 3 | Penambah baikan kerangka jaringan keselamatan sosial

  • Pendaftaran automatik EPF dan Socso kepada warga yang berumur 16 tahun ke atas;
  • Mewajibkan pencaruman EPF untuk pekerja “contract for services”;
  • Melebarkan manfaat caruman i-Suri kepada semua suri rumah;
  • Melebarkan dan melanjutkan caruman i-Saraan kepada 25% yang berkelayakan.

Tuntutan 4 | Kemudahan kesihatan mental yang lebih baik

  • Peruntukan RM45 juta untuk penambahbaikan kemudahan di seluruh negara;
  • Melebarkan rangkuman perlindungan mySalam untuk kesihatan mental.

SKOP 3 | MENJAMIN PERGERAKAN BELIA DAN KEHIDUPAN YANG LAYAK

Tuntutan 1 | Pengangkutan

  • Melebarkan jaringan bas elektrik;
  • Penggunaan RM 450 juta untuk mendapatkan sehingga 500 bas elektrik untuk menghubungkan MRT dan LRT.

Tuntutan 2 | Perumahan

  • Mencipta skim perumahan yang mampu milik serta mampu dibayar, dengan memberi fokus kepada menyenangkan kemasukan belia ke atas ‘property ladder’;
  • Menggubal undang-undang perlindungan bagi pihak penyewa khususnya bagi golongan belia;
  • Menyediakan peruntukkan dan kerangka tatakelola untuk menggunakan bangunan dan hartanah awam yang lama, tidak terpakai, terbengkalai tetapi punya struktur yang masih selamat, untuk diubahsuaikan menjadi perumahan belia.

KESIMPULAN

Perincian melalui skop-skop yang telah dibentangkan ini mengutamakan peruntukan dan aktiviti yang mengembangkan kesejahteraan insan serta berpaksikan perpaduan dan solidariti yang sedia ada utuh di dalam masyarakat kita. Cadangan-cadangan ini mengangkat penambahbaikan terhadap setiap potensi anggota masyarakat kita, daripada ekonomi digital sehinggalah ke ekosistem penjagaan rapi.