1. Ketua Angkatan Muda HARAPAN (AMH), YB Woo Kah Leong menyelar tindakan Pemuda PAS yang menukar himpunan membantah Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) kepada himpunan Turun Anwar. Perubahan tema himpunan membuktikan bahawa PAS & Perikatan Nasional (PN) hanya membantah demi membantah dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas berkenaan dengan dasar awam.
2. AMH menempelak PAS bahawa himpunan tersebut sebenarnya bukanlah bertujuan untuk membela rakyat atau membincangkan dasar, tetapi hanyalah menunjukkan pergelutan kuasa dalam kalangan PN lantaran PAS hanya ingin memperalatkan himpunan tersebut untuk mengatasi rakan sekutunya, iaitu Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).
3. Sebelum ini Pemuda PAS beria-ria untuk membantah PSB biarpun akta tersebut belum pun dibentang atau dibahas dalam Parlimen, namun kini Pemuda PAS pula bertukar wajah dan fokus menyerang PMX. Ini membuktikan bahawa PAS adalah dangkal dalam perihal dasar awam dan hanya berminat untuk menunggang isu.
4. Sesungguhnya PAS menghadapi kesukaran untuk menjelaskan rasional untuk menolak PSB yang jelas membela nasib rakyat berbilang kaum. Sehubungan dengan itu, PAS memilih satu jalan mudah, iaitu menukar fokus himpunan dan mencipta musuh baru demi mengalih perhatian tentang kegagalannya untuk berbicara mengenai dasar awam. Dalam kata lain, PAS malu untuk berdepan dengan penyokong sendiri lantaran mereka sebenarnya tidak ada alasan konkrit untuk menolak PSB.
5. Yang lawak adalah apabila Pemuda PAS melaungkan slogan “Turun Anwar”, ketiga-tiga parti dalam kalangan PN masih gagal untuk mencapai kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri bagi PN. Adakah PN sudah mempunyai pendirian rasmi untuk mengangkat Hadi Awang ataupun Muhyiddin Yassin mahupun Hamzah Zainudin sebagai Perdana Menteri?
6. Langkah PAS untuk mengadakan himpunan adalah helah politiknya untuk menonjolkan dominasi dalam kalangan PN. PAS kini menguasai semua jawatan Menteri Besar di negeri-negeri PN, dan mempunyai jumlah kerusi parlimen yang tertinggi dalam gabungan tersebut. Oleh itu, himpunan tersebut hanyalah sandiwara politik untuk memperkukuhkan kedudukan PAS dalam PN di samping mengekang pengaruh BERSATU.
7. Hakikatnya, PN kini berpecah-belah, tidak mempunyai dasar pentadbiran yang menyeluruh, tidak kiranya di peringkat persekutuan mahupun dalam empat negeri yang ditadbir, dan mereka tidak mampu untuk membuat keputusan tentang calon Perdana Menteri. Daripada melaungkan slogan “Turun Anwar”, lebih baik PN mengadakan mesyuarat dalaman untuk membuat keputusan tentang calon Perdana Menteri bagi PN.
8. Di samping menghormati hak rakyat untuk berhimpun, AMH sekali lagi menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan taktik politik PAS sebegini yang tidak berniat untuk membela nasib rakyat.