Skip to content

Pemuda PAS mudah terbelingut, bagai pisau belik

Dalam mata Ketua Pemuda PAS, seruan Ketua DAPSY Kebangsaan untuk mengekalkan status quo bagi perihal kehadiran majlis perayaan bukan Islam adalah “biadab, tidak bertanggungjawab, campur tangan terhadap urusan Islam & seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam”.

Seperti mana yang dinyatakan berkali-kali, DAP & DAPSY adalah entiti politik yang menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negara & menghormati keharmonian masyarakat berbilang kaum yang diwujudkan sejak kemerdekaan.

Amat malang & sedih apabila Pemuda PAS kini berbeza sangat dengan Pemuda PAS di bawah zaman Pakatan Rakyat, sekarang seluruh kepimpinan sudah tidak mampu berhujah dengan bernas dan melawan hujah dengan hujah dan hanya mampu mewujudkan retorik yang cenderung kepada menghasut penyokong dengan unsur keagamaan.

Sekiranya seruan untuk mengekalkan status quo adalah “campur tangan terhadap urusan Islam dan seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam”, ingin saya bertanyakan PAS bahawa adakah kerajaan Perikatan Nasional yang merangkumi Menteri PAS yang pernah memerintah dari Mac 2020 hingga November 2022 adalah sedang “menyebarkan agenda liberal yang melampau” pada ketika itu lantaran tiada garis panduan sebegini pun sewaktu PAS memerintah.

Adakah tindakan PAS ketika itu yang mengekalkan status quo pun “biadab, tidak bertanggungjawab, campur tangan terhadap urusan Islam & seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam” lantaran PAS pun mengekalkan status quo ketika memerintah kerajaan pusat.

Sekiranya tindakan kerajaan PN (ditunjangi Menteri PAS) yang mengekalkan status quo tidak dipersoalkan, kenapa kini pula bersikap dwi-piawaian untuk mempersoalkan DAPSY yang seru untuk mengekalkan status quo?

Nasihat saya kepada Ketua Pemuda PAS, gunakanlah Kamus Dewan mahupun Tatabahasa Dewan untuk mengenal pasti dan betul-betul memahami ayat/frasa/kata yang terkandung dalam kenyataan media DAPSY semalam, semuanya berlandaskan fakta masyarakat majmuk negara kita, mengguna pakai contoh dahulu dan dinyatakan juga kegusaran pihak penganjur.

Jangan sebab DAPSY yang menyuarakan pendirian, Pemuda PAS pula tergesa-gesa melenting tanpa hujah.