Skip to content

PEMULIHAN BEKALAN AIR DISEMPURNAKAN, SWSI TINGKAT KETERCAPAIAN DAN INFRASTRUKTUR PEMBEKALAN AIR NEGERI

Pemulihan bekalan air berjaya disempurnakan hasil kerjasama dan usaha sama semua pihak di negeri ini. Malah, kejayaan pelaksanaan 23 projek kerja air yang dijalankan pada tempoh gangguan bekalan air berjadual (SWSI) April 2025 secara tidak langsung telah meningkat serta menaik taraf keupayaan pam dan pengagihan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, iaitu LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang.

Kawasan-kawasan akhir yang menerima pemulihan pembekalan air (pencapaian 100 peratus) adalah pada jam 6.45 petang tadi (28 April 2025) iaitu membabitkan 400 akaun di kawasan hujung saluran (End-of-Line, EoL) dekat Gertak Sanggul daerah Barat Daya (DBD) ekoran proses melepaskan angin terperangkap dalam saluran paip yang mengambil masa lebih lama daripada jangkaan asal.

Umumnya, lima manfaat utama yang dicapai menerusi SWSI April 2025 adalah:-

(i) Meningkatkan jumlah harian bekalan air terawat yang dipam dari LRA Sungai Dua kepada kira-kira 465,000 pengguna air di kelima-lima daerah di negeri ini;

(ii) Menambah baik tekanan air bagi majoriti pengguna di kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua, terutamanya semasa tempoh permintaan tinggi seperti musim kemarau yang berpanjangan dan musim perayaan;

(iii) Mengurangkan masalah bekalan air ‘tidak stabil’ di kawasan EoL dan kawasan tanah tinggi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan DBD;

(iv) Mempercepat pemulihan bekalan air selepas gangguan berjadual dan insiden gangguan bekalan air tidak berjadual pada masa hadapan;

(v) Berpotensi mengurangkan air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) atau kehilangan air melalui pembaikan segera beberapa kebocoran utama.

Sekalung penghargaan kepada semua pengguna, umumnya seluruh rakyat negeri Pulau Pinang yang memahami, bersabar dan mendoakan kelancaran pelaksanaan SWSI sejak 25 April 2025 (Jumaat). Tahniah diucapkan kepada seluruh warga PBAPP, dan ribuan terima kasih kepada barisan pimpinan negeri iaitu Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Majlis, operator-operator air dari seluruh negeri serta agensi-agensi yang tampil menghulurkan bantuan bagi merealisasik

an pelaksanaan pemulihan pembekalan air ini.

Sekian, terima kasih.