DAP sangat terpana dengan cadangan Kerajaan Negeri Kedah untuk memindahkan binaan-binaan penting dari lokasi ketamadunan tua Lembah Bujang yang berselerak dalam kawasan seluas 200km ke suatu lokasi tunggal. Ini tidak menepati amalan galian arkeologi sesebuah tamadun yang sentiasa dilakukan di tempat asal, kecuali jika terdapat objek-objek seperti pasu atau figura tanah liat yang boleh dipindahkan untuk tujuan pameran di muzium.
Menteri Besar Kedah, datuk Mukhriz Mahathir berkata adalah lebih praktikal untuk membuat pemasangan struktur-struktur tersebut di sebuah lokasi tetap, memandangkan tinggalan tamadun tertua dalam rantau ini tersebut wujud sejara berselerak di merata-rata tempat. Namun untuk memindah atau mengubah struktur tersebut dari kedudukan asal membawa risiko untuk menukar bentuk, menghilangkan malah mengurangkan nilai kepentingan sejarah yang begitu unik terhadap tapak asal yang dipilih oleh penduduk asli kawasan tersebut 2000 tahun lalu; yang dikenali di seluruh dunia sebagai tamadun Lembah Bujang. Biarlah para pakar memutuskan sama ada pendekatan ini baik dan boleh dilakukan.
Datuk Mukriz memberi jaminan kepada rakyat Kedah bahawa warisan negeri Kedah sebagai tamadun tertua di Malaysia akan diraikan. Namun sepatutnya wujud akauntabiliti sepenuhnya daripada Datuk Mukhriz terhadap tradegi yang menimpa candi pra-sejarah berusia 1200 tahun Sri Vijaya (yang dikenali sebagai Candi No. 11) di Sungei Batu dalam kawasan Lembah Bujang.
Terletak dalam kawasan dengan keluasan beratus-ratus ekar, Lembah Bujang adalah tapak arkeologi terkaya di Malaysia dan terkenal di seluruh dunia oleh kerana warisan budaya Hindu-Buddha kuno yang terjaga, serta sebagai permulaan kepada lahirnya tamadun Melayu awal.
Apa yang tinggal daripada Candi yang mempunyai nilai dan signifikan sejarah yang tinggi, kerana dibina antara kurun ke 11 dan 13, hanyalah sebidang tanah lapang siap untuk projek perumahan. Kehilangan candi terbabit disedari dan dikhabarkan kepada umum oleh Datuk V. Nadarajan dan disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof. P. Ramasamy, yang dahulunya pernah mengkaji tentang kehadiran dinasti Chola di Lembah Bujang.
Kehancuran seperti ini boleh dielakkan sekiranya Pejabat Tanah Merbok mengawasi dan memaklumkan pihak pemaju tentang kewujudan struktur bersejarah ini. Bukan sahaja ini tidak dilakukan, pihak pemaju juga diberikan kebenaran untuk meratakan kawasan terbabit!
Kelalaian dan kegagalan pengurusan warisan oleh Kerajaan Negeri Kedah telah mengakibatkan kehilangan warisan yang tidak masuk akal. Ia adalah suatu titik hitam bagi Malaysia yang gagal menjaga tinggalan sejarah untuk generasi akan datang sedangkan tugas menjaga monumen bersejarah seperti yang ada di Lembah Bujang adalah tugas mulia yang dipertanggungjawabkan ke atas kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Kerajaan Persekutuan harus berhenti beroperasi secara ‘remote control’ dari pejabat berhawa dingin di Putrajaya. Malah dana harus disediakan untuk menubuhkan pejabat-pejabat warisan di negeri-negeri yang kaya dengan tapak arkeologi seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.
Kerajaan Negeri Kedah harus menggunakan episod malang ini untuk memperkasakan usaha bagi merangka plan pengurusan warisan arkeologi untuk melindungi struktur sejarah yang masih tinggal di Lembah Bujang. Saya cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera bagi menyenaraikan Lembah Bujang sebagai sebuah tapak warisan di bawah UNESCO.