Skip to content

Penahanan yang mengejutkan isteri saya, berhubungkait dengan saya, adalah cabaran terkini yang harus diharungi oleh kami sekeluarga

Penahanan yang mengejutkan isteri saya, berhubungkait dengan saya, adalah cabaran terkini yang harus diharungi oleh kami sekeluarga.

Keluarga saya telah mengalami pelbagai dugaan akibat penglibatan saya dalam politik sebagai pembangkang pada tahun 1986 hingga ke 2008. Dulu mereka terpaksa menziarahi saya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987 atau ketika di penjara di Kajang kerana mempertahankan seorang gadis Melayu yang menjadi mangsa rogol bawah umur pada tahun 1998, mereka harus berdepan cabaran dan tekanan yang tidak dihadapi oleh keluarga normal.

Malangnya mereka terus menghadapi dugaan walaupun setelah saya dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2008. Pada 2011 anak lelaki saya yang ketika itu berumur 15 tahun telah difitnah dengan teruk oleh kepimpinan Pemuda UMNO, Papagomo atau Wan Muhammad Azri. Wan Muhammad Azri telah menuduh kononnya anak saya telah melakukan gangguan seksual terhadap rakan sekelasnya di Pulau Pinang.

Pada usia yang sebegitu muda, anak saya terpaksa menghadapi fitnah dan tuduhan daripada seluruh jentera media BN. Dia amat terkesan dengan tuduhan itu dan saya sendiri berasa begitu tidak terdaya apabila tidak dapat mempertahankan anak sendiri. Walaupun orang yang didakwa menjadi mangsa, pengetua sekolah, malah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang tampil menafikan insiden itu berlaku, tiada tindakan telah diambil ke atas Papagomo oleh pihak polis di atas fitnah jijiknya.

Pada awal Mac tahun ini sekali lagi Papagomo menyebarkan berita palsu bahawa anak saya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura kerana cuba untuk menyeludup wang tunai bernilai RM2 juta dan saya pula terbang ke Singapura untuk memastikan dia dibebaskan. Ketua Polis Negara kemudiannya telah menjelaskan bahawa tiada penahanan seperti yang disebarkan berlaku dan saya tidak ke Singapura pada tempoh tersebut.

Dalam jawapan bertulis di parlimen minggu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata Polis DiRaja Malaysia telah membuka kertas siasatan untuk meneliti perkara ini dibawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia tentang salahguna rangkaian Internet.

“Siasatan telah siap dan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 13 Mei 2020,” katanya. Sehingga kini tiada pendakwaan yang dibuat ke atas Papagomo setelah tempoh 3 bulan.

Ini jauh berbeza dengan keadaan isteri saya, Betty Chew, yang akan didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 11 Ogos 2020, cuma empat hari selepas kenyataannya diambil dan dia ditahan pada 7 Ogos 2020. Betty sendiri tidak faham mengapa dia didakwa sedangkan pendapatannya datang dari bayaran guaman kepadanya sebagai seorang peguam.

Sebelum ini saya berasa tidak terdaya kerana gagal untuk melindungi anak saya. Kini pula saya tidak dapat buat apa-apa untuk melindungi isteri saya daripada tuduhan tidak berasas.

Kepada seteru politik, “Jadilah anak jantan, nak serang saya, suka hati anda, tapi jangan jadi pengecut dan ganggu keluarga saya”.