Skip to content

Penamatan perkidmatan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pasir Gudang selaku Pengerusi Yayasan Pasir Gudang

Dengan ini saya ingin memaklumkan bahawa saya telah menerima surat daripada Yayasan Pasir Gudang (YPG) pada dua hari lepas iaitu 16 April 2020 berhubung penamatan perkhidmatan saya bagi jawatan seperti atas berkuatkuasa 5 April 2020.

Dalam surat tersebut yang ditandatangani oleh Pengasas YPG, Dato’ Mohamed Khaled Nordin adalah dinyatakan bahawa penamatan perkhidmatan saya adalah atas sebab perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, maka agensi-agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan juga terdapat perubahan dari segi keanggotaan.

Keputusan ini di dalam jangkaan saya. Namun, saya tidak sangka penamatan saya dilaksanakan atas nama Mantan Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang telah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Kekalahan beliau turut menunjukkan rakyat tidak lagi percaya dan tidak mahu beliau sebagai pemimpin. Lebih ironinya apabila pihak yang diberikan mandat oleh rakyat, iaitu Pakatan Harapan, dipecat oleh pemimpin yang telah ditolak rakyat.

Sejak saya menerajui YPG pada 1 Disember 2018, banyak usaha dan hasil yang berimpak tinggi telah dilaksanakan seperti program Back To School, pemberian bantuan kepada mangsa bencana, keluarga kurang berkemampuan, sambutan perayaan dan terlibat dalam pengurusan kebajikan semasa insiden bencana pencemaran kimia Sungai Kim Kim.

Di samping itu, disebabkan kelewatan tindakan Kerajaan Negeri semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai penduduk telah mengalami bekalan barangan dapur yang terputus. Oleh itu, saya bersama Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YPG telah mengambil tindakan yang cepat dengan meluluskan sebanyak 2,000 set barang keperluan khas untuk disampaikan kepada warga Pasir Gudang yang kurang berkemampuan pada 26 Mac 2020.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan juga kakitangan YPG atas segala kerjasama dan kepercayaan yang diberikan selama ini.

Saya berharap YPG di bawah kerajaan Perikatan Nasional akan mempunyai perancangan yang lebih besar dan bermakna pada masa akan datang dan terus menjaga kebajikan warga Pasir Gudang secara telus tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.

Pada masa yang sama, saya akan terus berusaha dalam kapasiti saya sebagai ADUN Johor Jaya untuk membantu masyarakat melalui saluran yang lain.