Skip to content

Penangguhan mesyuarat PSC mengenai isu Azam Baki

Kami, selaku ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri (PSC Agensi JPM), ingin menyuarakan bantahan kami terhadap keputusan Pengerusi PSC Agensi JPM YB Kuala Krai YB Tuan Abdul Latiff Bin Abdul Rahman untuk menunda mesyuarat PSC yang sebelum ini ditetapkan pada 19 Januari 2022.

Menurut beliau, Ketua Persuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberi respon bahawa mesyuarat tersebut melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah bahawa beliau telah memfailkan saman sivil di bawah fitnah terhadap seorang pemberita dan oleh yang demikian tiada sesiapa adalah dibenarkan untuk membincangkan fakta-fakta kes atau memberikan komen terhadap perkara tersebut yang kini menjadi perkara Mahkamah (subjudis).

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan JK Aduan SPRM sedang menjalankan siasatan berkenaan pemilikan saham tersebut. Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya sifat dan kelakuan beliau adalah dibincang, maka ianya seharusnya dibawa melalui usul dan bukan melalui PSC.

Kami amat tidak bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Azam Baki. Kami ingin menegaskan bahawa Azam Baki seharusnya menghadiri di hadapan kami pada mesyuarat PSC tersebut bagi membangkitkan isu-isu yang dibangkitkan beliau, bukannya meremehkan surat panggilan pihak Parlimen dan sehingga SUDK menanggguhkan mesyuarat PSC yang ditetapkan hanya sebab perkara ini dirujuk kepada Pegawai Undang-Undang Parlimen ataupun Peguam Negara. Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan.

Bidangkuasa PSC adalah bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang efektif bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku. Bidangkuasa PSC adalah untuk mengenalpasti sumber-sumber kuasa yang sedia ada dan sama ada ianya mencukupi.

Selain itu, kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan adalah selaras dengan Houses of Parliament (Privileges and Powers) Act 1952 dan Azam Baki adalah jelas menghina Parlimen (in contempt of parliament) apabila mentah-mentah meremehkan panggilan parlimen.

Memandangkan mesyuarat PSC Agensi JPM sudah dilapangkan, maka PSC seharusnya segera menetapkan tarikh yang baharu bagi mesyuarat PSC Agensi JPM.