Undang-undang Darurat
Undang-undang Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 telah menambah kepada kekeliruan keadaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang sudah mengelirukan dan berubah dari hari ke hari berhubung dengan Covid-19. Undang-undang Darurat ini akan berkuat kuasa pada 11 Mac 2021.
Kekeliruan ini amat teruk, hinggakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador juga terkeliru apabila beliau mengatakan bahawa penguatkuasaan kompaun RM10,000.00 hanya dikenakan kepada individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan berulang kali, dan juga mereka yang boleh mencetuskan penyebaran Covid-19 .
Undang-undang Darurat ini memperuntukkan perkara-perkara berikut:
- Semua kesalahan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta342) akan menjadi kesalahan-kesalahan yang lazim boleh ditangkap.
- Ia meningkatkan hukuman umum bagi kesalahan di bawah Akta 342 kepada denda tidak melebihi RM100,00.00 dan/atau penjara selama tempoh tidak melebihi 7 tahun.
- Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa hanya boleh mengkompaun sesuatu kes dengan persetujuan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.
- Hanya setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Pendakwa Raya, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa boleh menawarkan kompaun kepada seseorang individu untuk membayar denda tidak melebihi RM10,000.00 atau bagi sesuatu pertubuhan atau perbadanan tidak melebihi RM50, 000.00.
Apakah kesan peruntukan-peruntukan darurat ini dalam keadaan harian kita?
Polis atau pegawai yang diberi kuasa akan menangkap, menahan dan menyiasat semua orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 342 atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya. Polis atau pegawai yang diberi kuasa kemudian akan memutuskan untuk mendakwa suspek-suspek ini di mahkamah atau menulis kepada Pendakwa Raya untuk mendapat persetujuan daripada Pendakwa Raya bagi mengkompaunkan kes-kes tersebut.
Undang-undang Darurat ini harus dibantah atas alasan-alasan berikut:
- Mengapa perlu menjadikan kesalahan-kesalahan ini sebagai kesalahan-kesalahan yang lazim boleh ditangkap? Mereka yang hanya tidak mematuhi peraturan-peraturan berkenaan dengan Covid-19 (SOP) akan ditangkap, ditahan dan disiasat.
- Kami akan membazirkan banyak masa dan sumber polis dan mahkamah padahal kebanyakan kes-kes ini boleh diuruskan secara mudah dengan mengenakan satu denda kompaun.
- Keperluan Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai yang diberi kuasa untuk mendapatkan persetujuan daripada Pendakwa Raya merupakan satu proses birokrasi yang tidak perlu dan akan menyebabkan berlakunya banyak kes-kes tertunggak. Sebaliknya, Pendakwa Raya hendaklah memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dan pegawai yang diberi kuasa untuk mengkompaunkan kes-kes tersebut.
- Apabila seorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta 342 atau peraturan-peraturan di bawahnya ditangkap, dia akan menghadapi hukuman tidak melebihi RM100,00.00 dan/atau penjara sehingga 7 tahun! Ini akan menggalakkan amalan rasuah kerana hukuman yang begitu berat boleh dikenakan.
- Kompaun yang dicadangkan sebanyak RM10,000.00 juga adalah terlalu tinggi untuk kesalahan hanya kerana tidak mematuhi SOP yang senantiasa berubah. Jumlah kompaun ini akan menjadi begitu besar jika ia melibatkan orang ramai yang menghadiri majlis atau pengkebumian.
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) Sekarang
Hukuman undang-undang Darurat di atas jelas berat dan zalim terhadap rakyat jika dibandingkan dengan Akta 342 yang sedia ada (sebelum ia dipinda oleh Undang-undang Darurat berkuatkuasa pada 11 Mac 2021) yang memperuntukan seperti berikut: –
- Kesalahan di bawah Akta 342 dianggap satu kesalahan yang tidak lazim boleh ditangkap. Tiada tangkapan boleh dibuat tanpa waran daripada mahkamah.
- Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa oleh beliau secara bertulis boleh menkompaun kesalahan dengan mengutip daripada pesalah sejumlah wang yang tidak melebihi RM1,000.00. Pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta 342 juga diberi kuasa untuk menjalankan pendakwaan. (Nota: Terdapat pandangan bahawa kuasa-kuasa ini melanggari Perlembagaan Persekutuan melainkan jika kuasa-kuasa ini telah diberikan oleh Pendakwa Raya kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kuasa untuk mendakwa terletak pada Pendakwa Raya atau orang yang diberikan kuasa olehnya).
- Setakat ini, denda maksimum di bawah peraturan-peraturan yang berkaitan dengan Covid-19 yang dibuat di bawah Akta 342 adalah tidak melebihi RM1,000.00.
Sungguhpun tidak mempunyai kuasa berkenaan, pihak polis di bawah Kerajaan PN telah bertindak melanggari undang-undang dengan menangkap dan menahan suspek-suspek, ada kalanya semalaman sebelum mendakwa mereka di mahkamah. Polis juga telah memberikan tawaran untuk kompaun (saman) kepada suspek pesalah di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut sunggupun polis tidak ada kuasa untuk membuat sedemikian.
Penyelesaian yang Dicadangkan
Akta 342 memperuntukkan bahawa pihak polis (dan agensi penguatkuasaan lain) hendaklah membantu pegawai-pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta tersebut dalam menjalankan tugas mereka. Saya mencadangkan agar polis melakukan rondaan mereka dan memberi amaran kepada orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan Akta 342. Sekiranya mereka enggan mendengar amaran dan mematuhi arahan polis, pesalah-pesalah yang keras kepala hendaklah didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai awam daripada menjalankan tugasnya. Kesalahan itu boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 2 tahun dan/atau denda tidak melebihi RM10,000.00. Saya percaya orang ramai akan menyokong dan berpuas hati dengan pendekatan seperti ini kerana mereka diberi amaran terlebih dahulu tentang pelanggaran peraturan-peraturan yang selalu berubah-ubah dari hari ke hari.