Penahanan dan pendakwaan terhadap Lim Guan Eng merupakan satu lagi babak konspirasi politik kotor dengan niat mahu membunuh karier politik beliau.
DAP akan menghormati keluhuran undang-undang dan tidak akan sesekali berganjak menentang pendakwaan terpilih ini dan akan mempertahankan integriti kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang di mahkamah mengikut proses perundangan yang sedia ada.
Lim Guan Eng sendiri telah berikrar untuk terus berjuang bukan sahaja untuk mempertahankan diri beliau, tetapi yang lebih utama ialah untuk mempertahankan perjuangan rakyat khususnya dinegeri Pulau Pinang yang ditadbir secara telus dan adil sejak 2008.
Kami DAP Johor berdiri teguh di belakang saf kepimpinan DAP pusat untuk berusaha bersungguh-sungguh demi memastikan keadilan dapat ditegakkan. Kami akan terus berjuang membela nasib rakyat yang semakin terumbang-ambing dek kesan polisi ekonomi Najib Tun Razak yang culas dan korup ini.
Kes ini menarik perhatian seluruh Malaysia apabila Peguam Negara sendiri mengetuai pendakwaan. Tindakan ini amat luarbiasa bagi seorang Peguam Negara. Maka, rakyat akan menyoal motif di belakang pendakwaan ini.
Keadaan ini cukup luarbiasa seolah-olah Ketua Menteri ini adalah seorang penjenayah besar yang harus disekat aktiviti dan tugasnya sebagai Ketua Menteri.
Namun demikian, sungguhpun usaha untuk membunuh dan memalukan Guan Eng ini dilakukan dengan cukup terancang, seluruh rakyat telah bangkit menyatakan solidariti dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Lim Guan Eng.
Sebagai bukti dalam tempoh kurang dari 24 jam rayuan kutipan derma kepada masyarakat untuk membayar wang jaminan terhadap Ketua Menteri ini telah berjaya dikutip sebanyak RM 1.09 juta.
Berbanding skandal 1MDB, Najib Tun Razak sehingga hari ini, pihak Peguam Negara bukan sahaja gagal membawa kes itu ke mahkamah, malah beliau telah bertindak sebagai hakim dengan membersihkan Najib dengan mangatakan bahawa tiada kes dalam isu 1MDB.
SPRM dilihat tidak berkuasa membuat apa-apa memandangkan kuasa mendakwa tertakluk di bawah bidang kuasa Peguam Negara sepenuhnya. Inilah kepincangan yang membolehkan pendakwaan terpilih berlaku di Malaysia.
Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, untuk bangkit bersama-sama bersolidariti bersama Lim Guang Eng demi menolak konspirasi politik zalim ini dengan memastikan kemenangan untuk rakyat.
Kita lebih lebih rela mati berdiri, daripada hidup melutut.