Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah gagal sekali lagi memahami bahawa dia perlu memimpin melalui teladan dengan mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan sebelum dia boleh meminta rakyat untuk menyokong pendekatan keseluruhan masyarakat untuk memerangi COVID-19. Elemen terpenting bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk pendekatan keseluruhan masyarakat adalah keyakinan rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan pemimpin kerajaan, kebergantungan kepada sains dan data dan bukannya keputusan subjektif yang mengejut, dan kesediaan untuk berkorban untuk negara.
Malangnya, keyakinan dan kepercayaan rakyat pada tahap terendah dengan peningkatan tertinggi dalam kes COVID-19 melebihi 6,000 kes untuk 5 hari berturut-turut dan peningkatan yang merisaukan kes kematian kepada 2,248. Terdapat juga defisit kepercayaan dengan banyaknya dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP COVID-19; amalan dua darjat dalam menguatkuasakan sekatan Perintah Kawalan Gerakan (PKP) antara VIP dan rakyat biasa; kelewatan bekalan vaksin yang mengakibatkan kadar vaksinasi yang rendah, penyalahgunaan kuasa oleh Menteri untuk menguntungkan diri, kroni atau ahli keluarga mereka; ketidakcekapan Menteri seperti nasihat untuk minum air suam bagi memerangi COVID-19; dan keengganan Sabah dan Sarawak untuk mematuhi pelaksanaan “Hotspot Identification for Dynamic Engagement” (HIDE) oleh kerajaan pusat.
Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat, Muhyiddin harus mengambil tanggungjawab atas kegagalannya, mengembalikan kebergantungan kepada sains dan data, serta berinteraksi, melibatkan dan mendengar suara rakyat. Bagi melibatkan keseluruhan masyarakat, dia perlu membuka semula Parlimen. Kilang boleh beroperasi walaupun pekerja tidak diberi vaksin tetapi Parlimen tidak boleh dibuka walaupun kesemua 220 Ahli Parlimen telah diberi vaksin. Sehingga kini, Muhyiddin masih belum memberi respon kepada tawaran damai DAP untuk tidak akan menyokong usul tidak percaya terhadapnya apabila dia mengadakan sidang Parlimen bagi melancarkan usaha keseluruhan masyarakat terhadap COVID-19.
Mengapa Muhyiddin Tidak Mengumumkan Sebarang Langkah Kewangan Untuk Menyelamatkan Pekerjaan Dan Perniagaan Untuk PKP 3.0 Yang Menyebabkan Kerugian RM400 Juta Sehari?
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memetik bahawa mata pencarian ekonomi adalah sebab mengapa tidak ada sekatan penuh seperti PKP 1.0 yang menyebabkan kerugian RM2.4 bilion sehari. Sekiranya ini sebabnya, mengapa Muhyiddin tidak mengumumkan sebarang langkah kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan di bawah PKP 3.0 yang menyebabkan kerugian RM400 juta sehari?
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan perlunya mengelakkan kerugian ekonomi sebanyak RM500 bilion sebagai sebab mengapa sekatan penuh yang serupa dengan PKP 1.0 tidak dilaksanakan. Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz Abdul Aziz menganggarkan kerugian harian ekonomi untuk PKP 1.0 pada RM2.4 bilion, RM400 juta di bawah PKP 2.0, dan menjangkakan RM400 juta yang serupa untuk PKP 3.0.
Muhyiddin mengatakan bahawa kerajaan kekurangan dana setelah membelanjakan RM340 bilion untuk berusaha mengimbangi kerugian RM 2.4 bilion setiap hari kepada ekonomi atau jumlah RM500 bilion kerugian di bawah PKP 1.0. Dengan kata lain, jika kerajaan mempunyai RM500 bilion atau bahkan jumlah yang lebih rendah dari RM340 bilion, sekatan penuh seperi PKP 1.0 akan dilaksanakan.
Sekiranya Muhyiddin mengutamakan mata pencarian ekonomi, maka dia harus lakukan seperti yang dikatakan dengan menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat, bagi mengatasi kerugian yang ditanggung di bawah PKP 3.0. Sekiranya kerugian harian ekonomi RM 2.4 bilion di bawah PKP 1.0 memerlukan 6 pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion, maka anggaran kerugian ekonomi harian RM400 juta di bawah PKP 3.0 memerlukan jumlah yang setara sebanyak RM57 bilion.
Daripada RM57 bilion, DAP mencadangkan pakej rangsangan ekonomi baharu bernilai RM45 bilion untuk membantu menyelamatkan dan mencipta pekerjaan, memperlahankan penutupan perniagaan dan melindungi mata pencarian ekonomi. Pekerja dan perniagaan kecil perlu mendapat faedah secara terus dalam bentuk kenaikan bayaran bulanan bantuan kebajikan masyarakat kepada RM1,000; insentif upah dan pengambilan pekerja kepada majikan dan pekerja, digitalisasi pendidikan bagi membolehkan pembelajaran atas talian, pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank (kecuali 20 Teratas) dan RM23 bilion dalam bentuk geran, pelanjutan pinjaman kredit, sewa dan subsidi utiliti.
Seharusnya tidak ada lagi tragedi berulang di mana rakyat tidak menikmati manfaat penuh dari 6 pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion yang telah diberikan sejak tahun lalu.