Komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menangani isu haiwan jalanan secara mampan, bersepadu dan berasaskan tanggungjawab wajar dijadikan satu teladan baik dalam usaha memperkukuh pengurusan populasi haiwan jalanan di Malaysia.
Baru-baru ini, saya telah menerima kunjungan hormat daripada YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Exco Kerajaan Negeri Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bersama delegasi Perak Pawsitive Initiative, bagi membentangkan usaha dan pendekatan yang sedang dilaksanakan di negeri Perak dalam menangani isu anjing dan kucing jalanan.
Saya amat menghargai usaha dan inisiatif yang telah dimulakan oleh YB Puan Sandrea Ng sejak tahun 2024, khususnya dalam membentuk kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), klinik veterinar serta komuniti melalui Perak Pawsitive Initiative.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, sebanyak 13 sesi Perak Pawsitive Initiative telah dilaksanakan di seluruh negeri Perak. Sehingga kini, inisiatif ini telah berjaya memandulkan 1,355 ekor anjing dan 1,047 ekor kucing, selain mengeluarkan sebanyak 1,303 lesen anjing.
Program seterusnya akan diadakan pada 17 dan 18 Oktober di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan, yang turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pemilik haiwan dan komuniti, termasuk:
- Pemandulan anjing dan kucing secara bersubsidi;
- Permohonan dan pembaharuan lesen anjing;
- Pemeriksaan kesihatan haiwan secara percuma;
- Vaksinasi anjing dan kucing; serta
- Taklimat dan program kesedaran awam berkaitan pemilikan haiwan yang bertanggungjawab.
Pendekatan ini melibatkan kerjasama antara NGO, klinik haiwan, pihak berkuasa tempatan di negeri Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, dengan matlamat jangka panjang untuk mencapai “Zero Stray” secara berperingkat dan mampan.
Bagi saya, pendekatan sebegini amat penting kerana isu haiwan jalanan bukan sekadar berkaitan pengurusan haiwan, tetapi turut mempunyai kaitan dengan keselamatan awam, kesihatan veterinar, kebajikan haiwan serta keharmonian komuniti.
Pada masa yang sama, pendidikan dan kesedaran pemilik haiwan turut diperkukuh supaya pemilik lebih bertanggungjawab, termasuk mencegah pembiakan haiwan peliharaan tanpa kawalan dan memastikan haiwan tidak ditinggalkan sehingga akhirnya menjadi haiwan jalanan.
Saya juga mengambil maklum dan menghargai perancangan Kerajaan Negeri Perak untuk memperkukuh kerangka perundangan dan penguatkuasaan bagi menangani isu haiwan jalanan, termasuk cadangan menggubal undang-undang kecil berkaitan, mewajibkan microchipping bagi anjing bertuan, serta cadangan pembinaan tempat perlindungan haiwan.
Dari perspektif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kita mengalu-alukan dan menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak.
Pada masa yang sama, libat urus dan penyelarasan yang berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga amat penting supaya pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dapat bergerak dalam satu hala tuju yang jelas dan saling melengkapi.
Ini termasuk memastikan dasar, garis panduan, aspek teknikal veterinar serta pendekatan pengurusan populasi haiwan dapat diselaraskan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di peringkat Persekutuan dan negeri.
Saya percaya pengalaman dan pendekatan yang sedang dilaksanakan di Perak boleh menjadi satu contoh bagaimana kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, NGO, pengamal veterinar dan masyarakat dapat berganding bahu untuk menangani isu ini secara lebih tersusun, berperikemanusiaan dan mampan.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Dr Nurul Ashikin Sapian dari pasukan veterinar Perak Pawsitive Initiative, wakil-wakil NGO serta pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang hadir dalam sesi libat urus tersebut.
Kerjasama erat seperti ini perlu terus diperkukuh agar usaha menangani isu haiwan jalanan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja untuk kebajikan haiwan, tetapi juga demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.