Skip to content

Pendekatan ‘segenap jentera kerajaan’ diperlukan bagi menangani kemelut mahasiswa terkandas

DAPSY menyambut baik segala usaha dan tindakan membantu siswa-siswi yang terkandas ekoran pusingan U yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

DAPSY juga komited untuk menggembleng seluruh tenaga yang kami mampu selaku parti pembangkang untuk menyampaikan bantuan kepada mahasiswa-mahasiswi yang terkesan. Kami sedia bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Armada BERSATU dan Pergerakan Pemuda UMNO untuk membantu mana-mana mahasiswa terkandas.

DAPSY kebangsaan juga akan mengaturgerak semua DAPSY peringkat negeri untuk menyampaikan bantuan kepada siswa-siswi yang terkandas.

Namun, kami terpanggil untuk menanyakan kepada ketua ARMADA Bersatu, merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, selaku Ketua Pemuda sebuah parti pemerintah, bukankah tugasan beliau untuk mempastikan segala perlaksanaan dasar dan keputusan kerajaan tidak menyusahkan dan merugikan pemuda-pemudi Malaysia?

Bukankah sepatutnya para menteri dan timbalan menteri dari ARMADA dan PPBM, membawa isu ini ke peringkat jemaah Menteri, untuk diselesaikan menggunakan seluruh jentera dan tenaga Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mana-mana Kementerian serta agensi kerajaan yang berkebolehan dan berkemampuan?

Sekiranya parti kerajaan terpaksa menggunakan jentera parti untuk menyelesaikan masalah ekoran kegagalan dasar dan/atau perlaksanaan dasar kerajaan, bukankah ia bermaksud kerajaan dan parti tersebut kedua-duanya gagal?

Tumpuan haruslah diberi kepada penyelesaian masalah yang mendesak ini. Pihak yang paling berkemampuan sertai bersesuaian ialah kerajaan dengan pendekatan ‘segenap jentera kerajaan’. Penggunaan jentera parti hanya akan mengundang kritikan, serta kekeliruan yang tidak membantu.

DAPSY menggesa supaya sekurang-kurangnya Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan menubuhkan satu taskforce kecemasan bersama secara segera, bagi menangani kemelut ini.