Semalam, Menteri Undang-Undang Yang Berhormat Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar mengesahkah bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti tidak akan dibentangkan semasa sidang khas Parlimen pada 11 April 2022 akan datang.
Berikut adalah pendirian DAPSY Malaysia berkenaan perkembangan tersebut:-
- Kita tidak boleh menafikan bahawa Malaysia telah mengalami pengelutan politik dan ketidakstabilan pentadbiran pada 4 tahun kebelakangan ini. Sejak Pilihan Raya Ke-14, seramai 39 Ahli Parlimen telah menukar parti sehingga menyebabkan penukaran Kerajaan Persekutuan. Perkara ini juga telah memulakan kejadian di mana Ahli-Ahli Dewan Negeri di Perak, Johor, Melaka, Kedah dan Sabah juga menukar kesetiaan parti sehingga menyebabkan penukaran Kerajaan Negeri masing-masing.
- Pergolakan kuasa oleh beberapa individu sehingga demokrasi negara disia-siakan tidak boleh diteruskan lagi. Ramai pengundi telah hilang kepercayaan kepada sistem pilihanraya kita. Semua rakyat Malaysia dan terutamanya anak muda yang akan mengundi buat pertama kali pada pilihanraya yang akan datang berhak dijamin bahawa undi mereka dihormati dan dipelihara.
- Oleh itu, DAPSY Malaysia menyatakan sokongan dan ingin menyeru agar semua Ahli Parlimen juga turut sokong pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan suatu Akta Anti-Lompat Parti digubal pada sidang khas 11 April 2022 yang akan datang.
- Walaubagaimanapun, DAPSY Malaysia berpendirian bahawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan tersebut tidak memadai. Jika Kerajaan Malaysia serius dan ingin memulihkan demokrasi negara, ia harus dan DAPSY Malaysia dengan ini mendesak agar Kerajaan Persekutuan menetapkan satu jangka masa yang jelas untuk pembentangan Akta tersebut secepat mungkin.
- Malah suatu tarikh sidang khas tambahan bagi membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti haruslah diumumkan dengan segera dan ia sepatutnya dalam bulan ini juga tanpa melengah-lengahkan masa lagi.
- Kami menggesa agar komitmen tarikh tersebut dinyatakan semasa pembentangan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada sidang khas 11 April 2022 nanti.