Skip to content

Penerimaan hadiah dalam kapasiti selaku seorang pimpinan utama negara bukan sahaja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga satu penganiayaan terhadap amanah yang diberikan okeh Rakyat

Bekas Perdana Menteri Najib Razak telah terkhilaf. Penerimaan hadiah dalam kapasiti selaku seorang pimpinan utama negara bukan sahaja salah dari sisi undang-undang, tetapi juga satu penganiayaan terhadap amanah yang diberikan okeh Rakyat.

Najib Razak dalam temuramah dengan Malaysiakini telah menyatakan bahawa “selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami dihadiahkan dengan pelbagai barangan oleh pemimpin antarabangsa serta rakan-rakan peribadi”.

Biarlah kita mengingatkan Najib Razak bahawa menurut Seksyen 3 Akta SPRM 2009, maksud “suapan” merangkumi “wang, derma, pinjaman, hadiah dan harta”.

Bagaimanakah Najib Razak dan isteri beliau, Rosmah Mansor, mampu menerima dan mengumpul “hadiah” yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut dan mungkin boleh mencecah nilai RM1.1 bilion seperti yang diumumkan oleh PDRM pada hari semalam, sekiranya bukan kerana posisinya selaku pimpinan utama negara untuk 36 tahun, dari seorang Menteri Besar dari tahun 1982 sehingga berhenti menjawat jawatan Perdana Menteri pada tahun 2018?

Sekiranya kita membahagikan nilai minima sebanyak RM686 juta tersebut dengan tahun perkhidmatan Najib Razak, secara puratanya setiap tahun Najib Razak akan menerima “hadiah ” bernilai RM19 juta atau bersamaan dengan RM1.6 juta koleksi setiap bulan!

Najib Razak cuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menyatakan bahawa beliau menyimpan barang-barang kemas yang bernilai sekurang-kurangnya RM686 juta tersebut untuk tujuan pameran peribadi suatu hari nanti. Kenyataan sebegini adalah langsung tidak masuk akal. Dengan segala percubaan oleh Kerajaan BN sebelum ini yang diketuai oleh Najib Razak untuk menutup dan melumpuhkan siasatan skandal 1MDB yang melibatkan Najib Razak sendiri, jelas sekiranya penukaran kerajaan tidak berlaku pada 9 Mei 2018 yang lepas, “pameran Najib Razak” tersebut akan kekal sebagai “koleksi peribadi Rosmah Mansor” dan tidak akan didedahkan kepada rakyat Malaysia.

Pengakuan penerimaan “hadiah” ini oleh Najib Razak sendiri ini adalah mencukupi untuk beliau dibawa ke ambang keadilan untuk dibicarakan.