Laporan penyiasatan Nahas Double-Six Nomad tidak sepatutnya dirahsiakan langsung di bawah Akta Rahsia Rasmi dan sepatutnya diterbitkan kepada orang awam sejak 47 tahun yang lepas pada tahun 1976 memandangkan penerbitan laporan ini mendedahkan bahawa tidak ada unsur keselamatan awam untuk menjadi alasan perahsiaan laporan ini selama hampir lima dekad.
Laporan ini sepatutnya diterbitkan untuk menjelaskan kematian tragik Ketua Menteri Sabah, Fuad Stephens, bersama dengan tiga menteri negeri Sabah, dan tujuh penumpang lain dalam penerbangan ini.
Perkara ini menjadi pengajaran kepada kerajaan hari ini, sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, untuk mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti sebagai prinsip tadbir urus baik pada setiap masa untuk mendapatkan keyakinan orang awam.
Klasifikasi laporan nahas Double-Six Nomad yang terjadi pada 6 Jun 1976 selama 47 tahun sebelum ini telah menimbulkan pelbagai bentuk teori konspirasi politik yang pastinya dapat dielakkan sekiranya Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara telus dan bertanggungjawab pada tahun 1976.
Perkara ini menjadi pengajaran, bahawa kerajaan pada hari ini, sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, tidak semestinya mengetahui perkara yang terbaik untuk negara. Apa yang sentiasa diperlukan adalah “semak imbang” yang bertanggungjawab.
Pengajaran ini semakin relevan kini, memandangkan sidang Parlimen kedua-dua dewan di Parlimen yang berakhir pada hari Selasa adalah sidang parlimen terburuk dalam sejarah Malaysia dari segi memecah belahkah rakyat melalui polarisasi perkauman dan keagamaan yang dibuat menggunakan penipuan, fitnah, dan berita palsu – dengan mempromosikan pelbagai bentuk teori konspirasi politik – tanpa semak imbang yang memadai.
Sebelum Parlimen bersidang, Presiden PAS, Hadi Awang, telah bermula dengan menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia, satu tuduhan yang dia gagal buktikan selepas lima bulan.
Semasa sidang Parlimen, Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan sidang untuk cuba menyebarkan penipuan, fitnah, dan berita palsu, seperti kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengharamkan laungan azan dan kononnya rakyat Malaysia terpaksa menjual organ untuk kelangsungan hidup, membawa kepada tajuk-tajuk akhbar yang berbunyi seperti: “Rasisme mencapai kemuncak baharu di Parlimen”.
Sekiranya para pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen PN boleh menipu, menabur fitnah, dan menyebar berita palsu di dalam dan di luar Parlimen, bagaimanakah untuk kita pastikan rakyat Malaysia mengamalkan prinsip kelima Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan”?