Skip to content

Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin harus membuktikan beliau adalah seorang negarawan berpandangan sederhana

Menjelang hari pengundian pada 11 Mei ini bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin harus membuktikan beliau adalah seorang negarawan berpandangan sederhana dengan mengarahkan kempen PN untuk menghentikan taktik terdesak, kotor dan berbahaya menggunakan politik perkauman dan ekstremis yang rancak digunakan oleh Ahli-Ahli Parlimen PN. Jelas sekali Ahli Parlimen PN seperti Ketua Penerangan PAS Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menghidu peluang di kerusi yang disandang DAP ini dan PH meletakkan calon wanita berketurunan Cina untuk mengukuhkan undi Melayu di Kuala Kubu Baharu.

Wan Ahmad Fayhsal telah cuba menimbulkan ketakutan dan rasa tidak selamat dalam kalangan pengundi Melayu dengan mengulangi pembohongan dua hari lalu, kononnya seramai 1.2 juta pelancong China telah tinggal lebih masa antara 2018 dan 2021 dan tidak meninggalkan negara ini. Walhal pembohongan bahawa 1.2 juta pelancong China tidak meninggalkan Malaysia telah dinafikan berulang kali pada masa lalu oleh kesemua Menteri Dalam Negeri, termasuklah oleh Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin semasa beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Fadhli Shaari pula sebelumnya telah mencabar calon PH, Pang Sock Tao untuk mendedahkan keputusan peperiksaan UPSR dan SPM beliau. Apabila Pang menerima cabaran tersebut, lalu terbukti bahawa beliau adalah pelajar terbaik dengan keputusan semua A di dalam kedua-dua peperiksaan UPSR dan SPM, Fadhli kemudian cuba membuat kesimpulan bahawa Pang telah melakukan kesalahan dengan bersekolah di sekolah vernakular Cina.

Hingga saat ini, Fadhli tidak langsung meminta maaf kerana menyerang Pang hanya kerana beliau bersekolah di sekolah vernakular Cina. Jelas Fadhli terlupa atau tidak mengendahkan bahawa pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa ibunda sendiri adalah hak-hak perlembagaan yang telah termaktub dan dijamin di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam usaha untuk memperbetulkan keadaan, Wan Fayhsal kemudiannya mendakwa PN tidak pernah berhasrat untuk menutup sekolah vernakular. Ini sebenarnya bercanggah dengan gesaan Wan Fayhsal sebelum ini untuk menghapuskan sekolah vernakular Cina dan Tamil semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri di bawah kerajaan Tan Sri Muhyiddin.

Menggunakan pembohongan serta mengekalkan retorik perkauman dan ekstrem tidak mungkin dapat membantu kehidupan seharian rakyat. PN sepatunya menyampaikan mesej yang lebih baik untuk meyakinkan rakyat bagaimana calon mereka boleh membawa pembangunan atau meneruskan projek pembangunan yang dimulakan oleh mendiang ADUN Lee Kee Hiong atau bagaimana rakyat boleh mendapat manfaat daripada Adun Pembangkang tanpa akses penuh kepada dana pembangunan yang mencukupi yang juga boleh membantu Persatuan, NGO, pelajar , orang sakit, warga miskin, warga emas serta badan-badan agama di Kuala Kubu Baharu.