Skip to content

Penggantungan Perak Corp Bhd adalah satu lagi contoh syarikat kaitan kerajaan yang gagal diurustadbir dengan baik di Perak dan tidak mencapai objektif sebenar bagi membantu rakyat negeri Perak

Penggantungan Perak Corp Bhd daripada menjalankan sebarang urusniaga di Bursa Saham Malaysia pada 09/05/2017 akibat kegagalan mereka mengeluarkan laporan kewangan tahunan bagi tahun yang berakhir pada 31/12/2016 yang sepatutnya dikeluarkan pada 30hb April tahun berikutnya merupakan satu lagi contoh bagaimana sebuah syarikat / agensi kaitan kerajaan yang gagal ditadbir dengan baik di negeri Perak.

Perak Corp Bhd dimiliki sebanyak 52.27% oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak. Syarikat ini akan berhadapan dengan risiko dinyah senarai sekiranya gagal mengeluarkan laporan kewangan tahunan dalam jangka masa enam bulan daripada tarikh akhir yang sepatutnya dihantar, selain tindakan-tindakan lain yang bakal diambil oleh pihak berkuasa.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak telah ditubuhkan bagi memacu ekonomi dan perkembangan sosio-ekonomi di negeri Perak. Malangnya, kegagalannya untuk ditadbir dengan baik menyebabkan ia dikhuatiri gagal untuk menjalankan fungsi sebenar dengan sewajarnya.

Adalah dikhuatiri jika isu-isu yang melanda Perak Corp Bhd tidak diatasi, isu mungkin akan digulungkan.

Kegagalan ini juga sebenarnya memberikan persepsi yang tidak baik kepada pelabur-pelabur terhadap kebolehpercayaan mereka terhadap Kerajaan Negeri Perak dan seterusnya akan membawa kesan besar ke atas prestasi ekonomi Negeri Perak.

Badan-badan berkanun ditubuhkan demi kepentingan negara/ orang awam dan ia mestilah diuruskan dengan amalan perniagaan yang baik. Sekiranya kedua-dua unsur ini hilang, kewujudan badan berkanun tidak lagi boleh dipertahankan. Memetik kata-kata allahyarham YAB Tun Abdul Razak Bin Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua berkenaan dengan penubuhan badan berkanun, beliau berkata “Pihak-pihak berkuasa berkanun telah ditubuhkan bagi menggabungkan beberapa prinsip-prinsip seperti prinsip pemilikan awam, satu prinsip kebertanggungjawaban awam yang luas tetapi tidak terlalu terperinci, dengan kesedaran bahawa mereka bekerja demi kepentingan negara, dan juga untuk menggerakkan daya keusahawanan dan kemajuan perniagaan. Kewujudannya hanya boleh dipertahankan sekiranya ia dapat melaksanakan objektif-objektif negara bersama-sama dengan kebebasan yang mereka nikmati dalam pengurusan harian dan amalan perniagaan yang baik’.

Saya merasa terkejut dengan tindakan berdiam diri yang memekakkan telinga oleh Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Bin Abdul Kadir yang merupakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dalam isu diatas.

Saya menyeru kepada Menteri Besar untuk memberikan penerangan kepada rakyat tentang isu-isu berkaitan yang menyebabkan Perak Corp Berhad gagal mengeluarkan laporan kewangan tahunannya bagi tahun 2016 selain mengambil tanggungjawab di atas perkara di atas.