Skip to content

Penggunaan Bahasa Cina pada notis makluman tunggakan di Rumah Pangsa Padang Tembak

Unit Penguatkuasaan, Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) telah menerima Laporan Kutipan dan Tunggakan Sewa dan Penyelenggaraan Bahagian Perumahan PSUKPP sehingga 30 Jun 2016 daripada Unit Kewangan, Bahagian Perumahan pada 15 Julai 2016.

Jumlah tunggakan sewa dan penyelenggaraan di Rumah Pangsa Padang Tembak sehingga 30 Jun 2016 adalah sebanyak RM1,416,165.00 yang melibatkan 1,750 unit kediaman.

Seorang Pegawai Bahagian Perumahan telah dengan niat yang baik mengambil inisiatif menyediakan notis pemakluman untuk dipaparkan di Blok F, G dan H dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina menggunakan aplikasi Google Translate di mana tujuan beliau adalah untuk mesej tersebut difahami dengan lebih jelas oleh penduduk-penduduk yang tidak begitu fasih dalam Bahasa Malaysia.

Notis pemakluman berkenaan telah di tampal berhampiran lif di Blok F, G dan H, Rumah Pangsa Padang Tembak pada 18 Julai 2016 semasa penghantaran Notis Amaran 14 Hari kepada setiap unit yang bertunggakan.

Kesilapan tatabahasa yang berlaku pada notis pemakluman tersebut telah dimaklumkan oleh pejabat saya kepada Bahagian Perumahan pada jam 3.00 petang, 19 Julai 2016 setelah menjadi viral di dalam akhbar berbahasa Cina dan di laman Facebook.

Unit Penguatkuasaan dan Pengurusan Pejabat Rancangan Perumahan Padang Tembak telah menurunkan notis-notis pemakluman tersebut sebaik sahaja perkara ini dilaporkan kepada Bahagian Perumahan.

Bahagian Perumahan telah dinasihati agar kesilapan seperti ini tidak lagi berlaku di masa hadapan.

Peringatan juga akan dikeluarkan kepada semua pihak yang berkenaan supaya memastikan notis-notis yang perlu dikeluarkan dalam selain daripada Bahasa Kebangsaan dirujuk / disemak kepada pihak yang berkenaan terlebih dahulu.