Skip to content

Penggunaan LPG Bersubsidi di Premis Makanan Harus Diperluaskan kepada Sektor Bukan Industri bagi Mengelakkan Kenaikan Kos Sara Hidup Rakyat

Saya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menangguhkan pelaksanaan larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik di premis makanan. Langkah ini akan meningkatkan kos operasi pengusaha makanan kecil dan sederhana, yang akhirnya akan membebankan pengguna dengan kenaikan harga makanan.

1. Walaupun kerajaan ingin mengelakkan penyalahgunaan LPG bersubsidi dalam sektor komersial, tindakan penguatkuasaan ke atas termasuk premis makanan akan menyebabkan kos operasi pengusaha makanan kecil dan sederhana berlipat ganda, seterusnya meningkatkan beban dan kos sara hidup pengguna.

2. Harga gas LPG komersial hampir tiga kali ganda lebih mahal daripada gas LPG domestik. Ramai pengusaha kecil dan penjaja masih bergantung pada gas bersubsidi sebagai sumber tenaga utama. Jika dipaksa bertukar kepada LPG komersial, mereka tiada pilihan selain memindahkan kos tambahan kepada pelanggan, menyebabkan harga makanan meningkat dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban.

3. Ramai rakyat bergantung kepada premis makanan di luar rumah atas faktor pekerjaan. Mengikut statistik, secara purata isi rumah tempatan membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan yang dimasak atau dibawa pulang.

4. ⁠Maka, pelaksanaan dasar ini secara drastik pasti akan mencetuskan kesan berantai serta tekanan inflasi yang menyeluruh. Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, rakyat sudah dibebani dengan peningkatan kos sara hidup. Jika tindakan penguatkuasaan dilakukan secara tergesa-gesa, ia bukan sahaja mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengusaha makanan, malah akan mencetus lagi inflasi.

5. ⁠Menurut Laporan PAC Parlimen berhubung subsidi LPG pada tahun 2021, MOF telah menyediakan draf Memorandum Jemaah Menteri (MJM) yang mengesyorkan cadangan untuk menetapkan golongan sasaran yang layak menerima subsidi LPG seperti pengusaha institusi pendidikan dan perubatan, pengusaha pasar malam, kedai makan, gerai jualan, dan restoran, pengusaha kafeteria atau medan selera di gedung membeli-belah, pejabat, kilang, lapangan terbang, Kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan lain-lain lokasi.

6. Justeru, saya mencadangkan agar KPDN mempertimbangkan peluasan penggunaan LPG bersubsidi kepada kategori bukan industri seperti cadangan di atas, supaya orang awam tidak terkesan secara langsung dengan beban kos yang lebih tinggi. KPDN perlu mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan pemain industri dan rakyat sebelum melaksanakan dasar ini, serta menilai kesan menyeluruh dari pelbagai sudut, supaya pelaksanaannya lebih tersusun dan adil.