Hari Jururawat Sedunia 2020 disambut pada 12 Mei setiap tahun untuk mengenang dan menghargai sumbangan semua jururawat di seluruh dunia yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan kesihatan.
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para jururawat terutamanya di Malaysia yang merupakan antara wira barisan hadapan yang sedang melawan pandemik Covid-19.dan banyak berjasa selama ini.
Saya bersama pasukan DUN Johor Jaya telah menyampaikan bunga kepada para jururawat di Klinik Kesihatan Masai dan Klinik Desa Plentong hari ini, sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tanggungjawab. Sempat juga saya bertanya khabar dengan mereka dan mendapati bahawa ramai dalam kalangan jururawat yang tidak sempat menyambut Hari Ibu bersama keluarga mereka pada hari Ahad yang lalu kerana perlu menjalankan tugas di klinik dan hospital.
Jururawat telah memainkan peranan penting dalam advokasi kesihatan awam. Walaupun jururawat sering dilihat sebagai peranan sekunder dalam perkhidmatan kesihatan, mereka masih gigih menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa mengenal penat lelah.
Mereka bukan sahaja berkorban masa, tenaga dan perasaan, malah ada juga yang sedang mengandung dan masih menjalankan tugas. Ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang, meninggalkan suami, isteri dan anak demi menjalankan tugas untuk negara.
Tidak dilupakan, jururawat yang dikesan positif Covid-19, bahkan ada yang terkorban akibat jangkitan wabak ini. Walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya berharap rakyat Malaysia kekal mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan demi tidak mensia-siakan pengorbanan petugas kesihatan barisan hadapan untuk membendung wabak ini. Perkara ini tidak harus dipandang ringan.
Di samping itu, saya ingin menyentuh isu lain berkaitan pengagihan topeng muka oleh Kerajaan Negeri Johor yang dikatakan sudah dilakukan merangkumi 90 peratus penduduk negeri ini melibatkan 982,600 ketua isi rumah.
Menurut satu kenyataan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyanathan dikeluarkan pada 10 Mei, sebanyak lapan daerah telah mencapai pengagihan 100 peratus manakala dua lagi daerah iaitu Johor Bahru dan Segamat, masing-masing sebanyak 98 peratus dan 95 peratus agihan hingga kini.
Saya telah menerima banyak pertanyaan tentang perkara ini bahawa tidak dapat topeng muka tersebut. Justuru, saya telah mengadakan tinjauan di laman Facebook saya melalui Google Form pada 11 Mei dan dalam tempoh 24 jam, seramai 1,700 responden telah memberi maklum balas. Tinjauan tersebut telah menunjukkan 1,597 orang (93.9 peratus) belum menerima topeng muka daripada Kerajaan Negeri dan hanya 103 orang (6.1 peratus) memberitahu sudah menerimanya.
Menurut data yang dikumpul, majoriti responden adalah dari daerah Johor Bahru iaitu 1,278 responden (75.2 peratus) yang menunjukkan 1,211 tidak menerima topeng muka (94.7%). Responden-responden ini terdiri daripada penduduk DUN Skudai, DUN Kota Iskandar, DUN Tiram, DUN Permas dan DUN Puteri Wangsa. Ada juga yang duduk di daerah-daerah selain Johor Bahru dan Segamat seperti DUN Endau, DUN Johor Lama, DUN Senai, DUN Mengkibol, DUN Pekan Nenas dan sebagainya yang menyatakan bahawa mereka belum menerima topeng muka daripada Kerajaan Negeri.
Ke mana perginya topeng muka yang telah dijanjikan? Saya berharap Kerajaan Negeri mengambil perhatian tentang isu ini dan tidak terlepas pandang kawasan-kawasan yang belum menerima topeng muka, khususnya di kawasan DUN Johor Jaya kerana ramai penduduk di Taman Johor Jaya masih tertunggu-tunggu pengagihan topeng muka daripada Kerajaan Negeri sebagai langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19.