Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertugas di lapangan (lokasi-lokasi awam) akan layak memperoleh suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 Fasa 1.
Saya telah membangkitkan perkara berkaitan pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri menerusi sidang video sebentar tadi dan telah dipersetujui oleh jawatankuasa mesyuarat secara sebulat suara. Justeru, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengeluarkan garis panduan berhubung perkara berkaitan bagi tindakan lanjut pada kadar sesegera mungkin.
Serentak itu, Kerajaan Negeri komited dan sentiasa memantau kes jangkitan yang berlaku membabitkan sektor perkilangan di negeri ini. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 14 kluster aktif di negeri Pulau Pinang kini, lapan (8) adalah melibatkan kluster sektor perkilangan.
Justeru, usahasama Kerajaan Negeri bersama-sama JKNPP, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), PBT dan agensi-agensi keselamatan berkaitan kini tertumpu ke arah kes-kes berulang di kilang-kilang seluruh negeri. Ini termasuk keperluan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan juga penempatan pekerja khususnya.
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri berharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat mempercepatkan pelaksanaan SOP keselamatan di tempat kerja dengan juga mengambil kira kos serta insentif perlu kepada pihak perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan industri kecil dan sederhana (IKS).