Skip to content

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang sehingga kini adalah terkawal

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Adalah diharapkan anda semua berada dalam kesihatan yang baik.

Makluman terkini daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang sehingga kini adalah terkawal. Malah, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM220,374.00 sebagai bantuan bekalan makanan/minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang serta pasukan-pasukan keselamatan bertugas dan juga untuk pembekalan peralatan perubatan kritikal kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam menghadapi kes-kes COVID-19 membabitkan Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

Sebentar tadi, saya diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib berhubung situasi terkini Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Alma yang dikesan di negeri ini. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang, Nazrul Fazami Mohamad.

Beberapa perkara yang diputuskan adalah seperti berikut:-

(i) Bagi Kluster Penjara Reman, tiada kes aktif baru dicatatkan dalam tempoh dua hari lalu. Semua banduan dan kakitangan telah menjalani saringan kedua. Sehingga kini kes-kes yang dilaporkan adalah tidak melibatkan kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang dan juga ahli keluarga mereka;

(ii) Bagi Kluster Penjara Seberang Perai, selain banduan, kes-kes aktif yang dilaporkan turut melibatan kakitangan dan ahli-ahli keluarga penjara. Justeru, JKNPP mengesyorkan supaya dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD);

(iii) Berlandaskan syor tersebut, saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Pulau Pinang (JKKNPP) COVID-19 bersetuju untuk mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan PKPD hanya di kawasan Penjara Seberang Perai dan kawasan kuarters kakitangan penjara berkenaan. MKN Negeri Pulau Pinang akan membawa cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi pertimbangan lanjut;

(iv) Bagi Kluster Alma, saringan kontak-kontak rapat diteruskan oleh pihak JKNPP;

(v) Kepelbagaian platform di peringkat daerah telah digerakkan sebagai penyelarasan gerak kerja agensi di lapangan terutamanya membabitkan keperluan logistik, keselamatan serta bantuan-bantuan lain secara menyeluruh;

(vi) Program-program melibatkan perhimpunan ramai adalah tidak digalakkan.

Dengan ini, saya berharap seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang terus amalkan amalan 4P iaitu Penjarakan fizikal; Pakai pelitup muka; Pencucian tangan dengan sabun serta pensanitasi tangan dan sentiasa Perhatikan gejala COVID-19.

Pulau Pinang mampu menang dalam pertempuran ini. Penang Lawan COVID-19!