Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat MMK pada 7 Jun 2017 dan disahkan pada hari yang sama telah bersetuju meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri. BKK sebanyak 0.75 bulan ini akan dipecahkan kepada dua (2) bayaran iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod disiplin. Manakala, tambahan 0.25 bulan gaji lagi akan diberikan kepada penjawat awam yang memuaskan prestasinya iaitu :-
- Tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi satu (1) hari;
- Kad Perakam Waktu (KPW) kekal berwarna kuning; serta
- Tidak diluluskan Cuti Sakit Tambahan di bawah Peraturan 17(a), Perintah Am Bab C dari tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017.
Penyelia, Guru dan Staf KAFA, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri dan Sekolah Persendirian Cina Negeri Pulau Pinang juga akan menerima BKK sebanyak RM300 manakala bagi Maahad Tahfiz, Sekolah Pondok dan Tadika Islam (TADIS) pula sebanyak RM200 dilihat sebagai satu pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan yang telah diberikan terhadap perkhidmatan masing-masing.
BKK ini akan dapat membantu penjawat awam dan semua guru yang terlibat dalam meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Pemberian BKK ini juga dapat membantu menguruskan persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017.
Pegawai yang layak menerima BKK seperti berikut:-
- pegawai lantikan tetap, sementara, contract of service dan contract for service;
- pegawai yang bercuti separuh gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang bercuti tanpa gaji tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya atau badan antarabangsa atau syarikat swasta tetapi tidak sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017; dan
- pegawai contract of service, contract for service, sementara dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang putus perkhidmatan selama tidak melebihi satu (1) hari dan dilanjutkan semula perkhidmatannya.
Pegawai yang tidak layak dibayar BKK adalah seperti berikut:
- pegawai yang bercuti separuh gaji sepanjang tempoh Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang bercuti tanpa gaji sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya/ badan antarabangsa/ syarikat swasta sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017;
- pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam sebelum atau pada 15 Jun 2017; dan
- pegawai yang meletak jawatan sebelum atau pada 15 Jun 2017.
Pemberian BKK diberi kepada 3,741 pegawai Perkhidmatan Awam Negeri di Pentadbiran Kerajaan Negeri sebanyak dianggarkan sebanyak RM7,551,028.94 berbanding dengan RM6,945,034.67 yang dibayar pada pertengahan tahun 2016. Pemberian BKK Tahun 2017 ini juga dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri
Memandangkan Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun sejak tahun 2008 melalui pengurusan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), sebanyak RM71,779,770.99 telah dicatatkan pada tahun 2015 dan dijangka akan juga mencatatkan lebihan Belanjawan pada tahun 2016. Maka Kerajaan Negeri berasa boleh memberikan BKK yang sama kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri. Pemberian BKK akan dibayar pada 20 Jun 2017.