Skip to content

Pengumuman cuti mendadak oleh Menteri Wilayah Persekutuan jelas menggangu aktiviti ekonomi dan urusan kerja orang ramai

Pengumuman cuti mendadak oleh Menteri Wilayah Persekutuan jelas menggangu aktiviti ekonomi dan urusan kerja orang ramai. Cuti yang diberikan dilihat sebagai sebuah penghargaan kepada pasukan bolasepak KL City kerana telah berjaya menewaskan pasukan Johor Darul Takzim di dalam kejuaraan Piala Malaysia 2021.

Kendatipun, pengumuman cuti ini banyak mendatang masalah pengurusan bagi kebanyakan institusi di dalam Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Misalnya, Bank Negara dan bank-bank di seluruh negara masih akan meneruskan urusan kerana pasaran kewangan negara masih perlu beroperasi seiring dengan operasi peringkat antarabangsa.

Sekiranya cuti ini ingin diberikan untuk memberikan penghargaan kepada para penyokong di Kuala Lumpur, pengumuman berkenaan cuti am ini seharusnya diberitahu lebih awal agar agensi, jabatan kerajaan, institut-institut pendidikan dan sector komersil boleh bersiap siaga. Pengumuman cuti mendadak hanya akan menggangu urusan pelbagai pihak. Misalnya, orang ramai yang sudah mengatur temu janji dengan jabatan-jabatan kerajaan tertentu kini perlu mengatur semula tarikh untuk melakukan urusan mereka, pihak sekolah perlu mengatur semula jadual peperiksaan sekolah, mereka yang sudah mempunyai tarikh bicara di mahkamah juga perlu lakukan pelbagai urusan pengaturan semula.

Perkara pengaturan semula ini tidak mudah, lebih-lebih lagi pasca Perintah Kawalan Pergerakan yang mana ramai orang telah menunggu berbulan-bulan lamanya untuk menyelesaikan urusan mereka. Ada daripada mereka yang datang dari negeri lain semata-mata untuk menyelesaikan urusan mereka di Putrajaya atau Kuala Lumpur. Berapa banyak wang sudah mereka belanja dan apakah pampasan untuk mereka? Selain itu, apakah kos kerugian ekonomi yang dialami akibat cuti am yang diberikan dan apakah kementerian wilayah akan menanggung kos tersebut?

Di dalam situasi ini juga wujudnya keperluan bagi Perdana Menteri untuk menjelaskan apakah mana-mana menteri di dalam kabinet diberikan kuasa untuk mengumumkan cuti dengan semena-menanya tanpa persetujuan daripada kabinet menteri?

Pasca pandemik ini, terdapat banyak “catch-up” yang perlu dilakukan, oleh itu sudah tentunya cuti ini akan menganggu banyak urusan. Cuti am secara permukaannya mungkin nampak seperti sesuatu yang menarik tetapi ia akan membawa pelbagai masalah tanpa pengurusan yang teliti. Dalam pada itu, bukanlah lebih baik sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan memberikan penghargaan di dalam bentuk kewangan supaya atlet-atlet pasukan bolasepak KL City ini lebih bersemangat? Kejayaan kali ini bukanlah calang-calang, KL City menunggu untuk membawa pulang piala tersebut. Penghargaan khusus yang melibatkan kebajikan, insentif dan pelan latihan jangka panjang perlu dititik beratkan sekiranya Menteri Wilayah Persekutuan komited dalam membantu atlet-atlet Wilayah Persekutuan.