Pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkenaan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) untuk pencukaian rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan dari luar negara berakhir 11 March menguatkan dakwaan sistem pencukaian sekarang tidak adil bagi mereka yang mempunyai perolehan pendapatan dari luar negara atau di Singapura dan membawanya pulang ke Malaysia atau Johor. DAP telah membantah penarikan pengecualian cukai FSIE sebagai langkah yang mengekang persaingan, tidak adil malah merbahaya kerana menghilangkan minat pelabur jangka panjang dan minat kewangan di Malaysia.
Berikutan bantahan keras dari ahli Parlimen DAP, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk melonggarkan polisi pencukaian ini dengan membenarkan pendapatan individu dan dividen dari hasil pendapatan dikecualikan. Sebuah negara tidak wajar mengamalkan satu negara dua sistem. Walaupun pendapatan individu dikecualikan cukai buat masa ini, tiada jaminan yang polisi mirip cukai pendapatan syarikat dari luar negara untuk syarikat tidak akan dilaksanakan selepas pilihanraya umum nanti.
Pendapatan syarikat dari luar yang dibawa masuk akan dicukai pada kadar 3% bermula 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022. Selepas tempoh ini, kadar cukai yang asal akan dikenakan kembali. Maknanya warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura akan dicukai dua kali, sekali di Singapura dan sekali lagi di Malaysia.
Pengecualian cukai yang diperkenalkan sebelum ini adalah untuk menggalakkan pengaliran masuk pendapatan ini. Jelas sekali polisi cukai baharu ini bersifat gopoh dan berlawanan dengan tujuan asal.
Malah ada segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab cuba menyalahkan saya dengan cukai ‘baru’ ini walaupun sudah tidak menjadi Menteri Kewangan selama dua tahun. Disebabkan mereka gagal memberi justifikasi cukai baru ini terutamanya di Johor yang mempunyai banyak syarikat beroperasi di Singapura, wajarlah mereka kembali memberi pengecualian cukai kepada pendapatan dari luar negara.