Skip to content

Pengumuman Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) tidak membawa banyak faedah kepada Pangkor tetapi bakal menyusahkan mereka yang meninggalkan Pulau Pangkor kerana mereka terpaksa melalui pemerikaaan oleh Kastam Di Raja Malaysia

Perdana Menteri telah mengumumkan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) mulai tahun 2018 semasa pembentangan belanjawan di Parlimen semalam. Namun kenderaan, minuman keras serta rokok masih tertakluk kepada cukai.

Pengumuman ini tidak memberikan sebarang makna sekiranya tiga barangan ini yang lebih diminati oleh pelancong tidak mendapat status bebas cukai.

Saya ingin mencadangkan semua barangan di Pulau Pangkor dijual dengan cukai biasa tetapi tanpa GST. Ini akan membantu perkembangan ekonomi Pulau Pangkor tanpa penambahan beban penguatkuasaan terhadap sebarang unsur penyeludupan.

Kebaikan terbesar yang dinikmati oleh Pulau Pangkor dengan pengumumannya sebagai Pulau Bebas Cukai adalah pengecualian daripada Cukai Jualan Barangan dan Perkhidmatan ( GST ). Semua hotel dan tempat penginapan dan jualan barangan di Pulau Pangkor akan menjadi bebas GST. Apabila Pulau Pangkor diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai, semua orang yang meninggalkan Pulau Pangkor akan berhadapan dengan masalah keperluan diperiksa oleh pihak Kastam Di Raja Malaysia. Ia juga akan menambahkan kos dari sudut membina tempat-tempat pemerikaaan untuk pihak Kastam, disamping keperluan menggaji pekerja-pekerja untuk pemerikaaan tersebut. Kesemua pengunjung dan orang yang masuk dan keluar Pulau Pangkor terpaksa melalui pemeriksaan ini.

Kebebasan untuk memasuki dan meninggalkan Pulau Pangkor sediakala melalui mana-mana bahagian Pulau tersebut akan disekat. Kesemua aktiviti yang melibatkan bot dan vessel akan diperiksa ketat untuk mengelakkan aktiviti penyeludupan. Ini juga akan mendatangkan kesusahan kepada bot-bot nelayan di Pulau Pangkor. Sepasukan pegawai Kastam Di Raja Malaysia juga perlu ditempatkan di Pulau Pangkor untuk memantau sebarang aktiviti penyeludupan. Saya tidak pasti samada Kerajaan Negeri Perak telah mempertimbangkan segala kebaikan dan keburukan sebelum memohon untuk Pulau Pangkor dijadikan Pulau Bebas Cukai.

Adalah lebih baik untuk Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas GST supaya semua tempat penginapan dan jualan barangan (tidak termasuk kenderaan) di Pulau Pangkor tidak dikenakan GST. Penjualan kenderaan tidak boleh disenaraikan sebagai bebas GST kerana perbezaan harga sebanyak 6% ini agak besar dan ia akan menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia akan membeli kenderaan dari Pulau Pangkor. Ini berbeza dengan barangan lain kerana pengunjung yang juga merupakan peniaga tidak akan berpusu-pusu untuk membeli stok jualan mereka di Pulau Pangkor kerana harga borong yang mereka nikmati jauh lebih rendah daripada pengecualian 6% GST itu.

Pengecualian Pulau Pangkor daripada GST adalah cara lebih baik dimana kesusahan yang timbul dan kos tambahan Kastam Di Raja Malaysia dapat dielakkan sementara kita mencapai matlamat menyediakan tempat penginapan dan jualan barangan yang lebih murah tanpa GST. Ini adalah cara yang lebih baik membantu mempromosikan Pulau Pangkor sebagai destinasi pelancongan yang mudah diakses dan murah tanpa mengganggu aktiviti bot dan vessel yang ada urusan di Pulau Pangkor kerana tidak timbul lagi isu penyeludupan.

Saya juga berharap agar syarat yang menetapkan supaya pengunjung perlu berada selama 72 jam ( yang dikenakan di kawasan Bebas Cukai di lain tempat ) untuk melayakkan mereka membeli barangan bebas cukai tidak dikenakan di Pulau Pangkor. Ini adalah kerana apa yang dinikmati oleh para pengunjung adalah pengecualian GST sahaja.