Skip to content

Pengumuman secara terbuka penyiasatan terhadap seseorang Hakim menjejaskan kedudukan Badan Kehakiman

Saya berasa khuatir dengan kenyataan Tan Sri Azam Baki bahawa siasatan telah dimulakan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali semata-mata kerana aduan telah dibuat kepada SPRM. Pandangan beliau jelas salah dari segi Undang-undang. Undang-undang membenarkan sesuatu penyiasatan dimulakan apabila terdapat syak wasangka yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan. SPRM dan polis tidak boleh memulakan sesuatu penyiasatan berdasarkan suatu laporan atau aduan yang tidak berasas.

Seksyen 29 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kuasa kepada SPRM untuk menyiasat. Seksyen 29 (3) menyatakan seperti berikut:-

‘Jika seseorang pegawai Suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan suatu kesalahan di bawah Akta ini berikutan suatu aduan yang dibuat…… atau maklumat diterima selainnya olehnya, dia hendaklah menyebabkan penyiasatan dibuat ……’

Jelas sekali seseorang pegawai SPRM tidak boleh memulakan siasatan semata-mata kerana laporan telah dibuat tetapi syarat bahawa terdapat sebab atau maklumat yang berasas mesti dipatuhi terlebih dahulu.

Jika lapuran dibuat kepada SPRM berdasarkan tulisan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang diragui kredibilitinya dalam portal Malaysia Today, laporan tersebut adalah khabar angin semata-mata.

Raja Petra Kamaruddin mesti tampil membuat laporan dan memberikan bukti-bukti untuk mengesahkan dakwaannya. Jika Raja Petra Kamaruddin tidak berani tampil membuat laporan, beliau adalah seorang yang tiada kredibiliti. Jika SPRM mengikut membuta tuli dakwaan orang yang kredibiliti diragui, ia menunjukkan dengan jelas kekurangan profesionalisme dan juga ketidakcekapan SPRM.

Melainkan ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki boleh menunjukkan terdapat syak wasangka yang munasabah atau bukti yang boleh dipercayai bahawa Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali telah melakukan kesalahan, beliau harus menghentikan siasatan terhadap Dato’ Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali serta-merta. Jika tidak, tindakan mesti diambil terhadap beliau kerana melakukan kesalahan mengugut Badan Kehakiman.

Pengumuman secara terbuka tentang penyiasatan terhadap seseorang Hakim menjejaskan kedudukan Badan Kehakiman. Tindakan terhadap seseorang Hakim mestilah berdasarkan bukti konkrit yang dikumpul dan diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan diambil di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan tentang tempoh perkhidmatan, salah laku dan penyingkiran seseorang Hakim.