Sebelum pembentangan Bajet 2017, akhbar dan media dalam talian telah melaporkan bahawa hospital-hospital telah berdepan masalah kekurangan dana kerana peningkatan jumlah pesakit. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah mengesahkan masalah ini dan berjanji bahawa mana-mana hospital yang kekurangan dana boleh memohon peruntukan tambahan. Permohonan untuk penambahan peruntukan Kementerian Kesihatan telah pun dibuat kepada Menteri Kewangan sebelum Bajet 2017 dibentangkan.
Dalam Bajet 2017 terdapat peningkatan kecil dalam peruntukan Kementerian Kesihatan, iaitu dari RM23.031 bilion dalam Bajet 2016 kepada RM 24.8 bilion. Peningkatan sebanyak RM1.8 bilion ini hanyalah merupakan penigkatan sebanyak 7.8%.
Jumlah preskripsi kepada kedua-dua pesakit luar dan pesakit dalam wad dijangka meningkat sebanyak 6.99%, dari 71,790,000 pada tahun 2016 kepada 76,810,000 pada tahun 2017. (muka surat 469). Ini memberi gambaran seolah-olah akan ada dana tambahan yang mencukupi untuk membolehkan hospital-hospital kerajaan membeli ubat-ubatan.
Namun penelitian perincian seterusnya menunjukkan keadaan runcing yang akan dihadapi doktor, jururawat dan pesakit. Di bawah Butiran 032200, Farmasi dan Bekalan, dan Kod 20000, Perkhidmatan dan Bekalan, peruntukan digunakan untuk pembelian ubat-ubatan telah dikurangkan sebanyak 18.98%, iaitu dari RM1,595,601,600 ke RM1,292,761,700 (pengurangan sebanyak RM302,839,900)!
Purata kos setiap preskripsi pada tahun 2016 hanyalah RM22.23. Ini memanglah amaun yang amat kecil untuk membekalkan ubat penyelamat nyawa kepada pesakit serangan jantung dan kencing manis. Selepas ini, para doktor dijangka memberi preskripsi ubat-ubatan dengan kadar kos setiap preskripsi yang dikurangkan kepada RM16.83. Ini merupakan potongan besar sebanyak 24% bagi setiap preskripsi!
Seperti yang kita sedia maklum, RM16.83 tidak cukup pun untuk membeli makanan tiga kali sehari di Malaysia. Kos ubat-ubatan kini lebih tinggi dengan pelaksanaan GST ditambah pula dengan nilai ringgit yang semakin lemah. Bekalan bulanan pil vitamin atau makanan suplemen sahaja boleh jadi lebih mahal. Bagaimanakah dapat dibekalkan ubat-ubatan sebulan untuk penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi pada kos 56 sen sehari?
Pada awal tahun ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah pun mengumumkan pemotongan bajet untuk hospital kerajaan sehingga RM300 juta. Pada tahun hadapan situasi akan bertambah buruk dengan jangkaan penambahan 5 juta orang pesakit diganding dengan pengurangan peruntukan sebanyak RM302 juta. Para doktor bukanlah ahli silap mata yang dapat menutup kelemahan kerajaan yang tidak cekap.
Untuk memburukkan lagi keadaan ini, Perdana Menteri baru sahaja mengumumkan Malaysia akan membeli 10 buah kapal tempur pesisir daripada China dengan kos RM300 juta setiap satu. Ini bermakna jumlah kos terlibat adalah RM3 bilion. Ini juga bertambah mengejutkan kerana Malaysia sedia terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut Cina Selatan dengan Cina. Namun kita membeli kapal peronda daripada mereka. Kos sebuah kapal tersebut adalah cukup untuk membeli ubat-ubatan penting pada kadar RM20 sebulan untuk 15 juta orang pesakit! ini sama dengan membekalkan ubat bernilai RM20 sebulan kepada separuh penduduk di Malaysia.
Apalah faedah membeli kapal peronda bila mana rakyat tidak boleh mendapat ubat-ubatan penting? Jelas sekali bahawa Perdana Menteri tidak menjaga kesihatan negara dengan memotong dana bagi setiap preskripsi sebanyak 24%. Saya menyeru semua rakyat menolak bajet ini yang tidak bersimpati terhadap rakyat yang sakit dan yang kurang sihat.