Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 Disember 2023 telah bersetuju untuk menawarkan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi bayaran tunggakan denda lewat kepada semua pemilik tanah dan petak di Pulau Pinang. Inisiatif tersebut adalah bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan petak untuk membayar cukai sebagaimana diperuntukkan.
Tawaran berkenaan adalah berkuat kuasa mulai 2 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024.
Tawaran tersebut adalah diberikan secara automatik kepada semua pembayar cukai tanah serta petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat di kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah dan juga secara dalam talian melalui portal PgLAND secara sekali gus (lump sum). Malah, ia juga terpakai kepada pembayar cukai yang menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak). Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak terpakai kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
Tawaran ini bukan berbentuk retrospektif dan tidak terpakai kepada orang awam yang telah membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengurangan ini dikuatkuasakan.
Pentadbiran ini memberi komitmen untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif sewajarnya bagi menggalakkan pemilik tanah di Pulau Pinang membayar cukai tanah/cukai petak sebagaimana digariskan di bawah Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang.
Mana-mana pemilik tanah yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara berkaitan adalah dimohon untuk menghubungi Unit Hasil, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang atau Pejabat Daerah dan Tanah.