Skip to content

Pengurusan dan pemegang saham MYAirline Sdn Bhd sangat tidak bertanggungjawab dan perlu dihukum dengan tegas kerana menipu 125,000 penumpang sejumlah RM20 juta dalam bentuk tiket penerbangan yang ditempah awal sehingga Mac 2024

Pihak pengurusan dan pemegang saham syarikat penerbangan tambang murah MYAirline Sdn Bhd yang tidak bertanggungjawab perlu dihukum dengan tegas kerana memperdaya 125,000 penumpang sejumlah RM20 juta bagi tempahan tiket-tiket penerbangan sehingga Mac 2024. Penghentian operasi secara tiba-tiba tanpa sebarang sebarang jaminan pulangan bayaran tiket sebanyak RM20 juta kepada 125,000 penumpang bukan sahaja tidak bertanggungjawab seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, tetapi juga mungkin terdapat unsur jenayah.

Pihak pengurusan telah melakukan jenayah apabila cuba menyembunyikan maklumat penting malah memperdayakan pihak berkuasa dan penumpang yang telah ke lapangan terbang hanya untuk mengetahui bahawa penerbangan mereka sudah tiada. Ramai penumpang berasa tertipu dan marah terutamanya 10,000 penumpang untuk 39 penerbangan yang sepatutnya telah berlepas semalam.

Ia membawa kepada persoalan penting bagaimana MYAirline Sdn Bhd diberikan lesen operasinya oleh kerajaan terdahulu walhal syarikat tersebut memiliki latar belakang kewangan yang diragui? Kegagalan urus tadbir sebegini oleh kerajaan terdahulu telah mencemar reputasi antarabangsa Malaysia dalam industri penerbangan. Adakah sebarang wajaran dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan hinggakan syarikat penerbangan tambang murah ini boleh gulung tikar hanya setahun selepas memulakan operasi?

Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan 125,000 penumpang terjejas mendapat pulangan sepenuhnya tiket penerbangan berjumlah RM20 juta. Walaupun kita yakin bahawa Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan siasatan terperinci, tindakan perlu diambil bukan sahaja ke atas syarikat tersebut tetapi juga mana-mana pegawai kerajaan yang mungkin telah bersubahat dengan pihak syarikat.