Merujuk kepada pewartaan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 pada 25 Februari 2021 di mana mulai 11 Mac 2021, kompaun yang boleh dikenakan kepada individu yang tidak mematuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) telah ditingkatkan sehingga RM10,000.
Meskipun terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum terhadap pematuhan SOP sebagai langkah yang terbaik untuk mencegah penularan wabak COVID-19, namun peningkatan kadar kompaun dan penguatkuasaan kompaun tersebut perlu diperhalusi bagi memastikan keadilan pelaksanaan dan penguatkuasaan, bagi menjaminkan integriti pihak berwajib dan pematuhan orang awam secara keseluruhannya.
Selain daripada isu dwi-standard atau ‘antara dua darjat’ yang kita dapat lihat di mana Menteri dan pemimpin Perikatan Nasional boleh dikecualikan daripada tindakan diambil berbanding dengan orang awam, kita turut dikejutkan dengan laporan akhbar Malaymail pada 7 Februari 2021 yang melaporkan bahawa lebih daripada 100,00 anggota polis dan penguatkuasa yang kurang pasti tentang prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Saya sendiri turut menerima rayuan daripada orang awam berhubung kompaun yang diterima oleh mereka kerana makan di tempat bekerja mereka dan telah membantu mereka mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa berhubung kompaun yang diterima tersebut.
Sehubungan dengan itu, saya berpendapat bahawa satu mekanisme yang sempurna perlu dilaksanakan bagi memastikan ketelusan pelaksanaan dan penguatkuasaan kompaun SOP ini, bagi menjamin ketelusan penguatkuasaan dan hak asasi orang awam apabila berdepan dengan pematuhan SOP ini.
Walau bagaimanapun, orang awam juga seharusnya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19, dan bukan sahaja mengelakkan pengenaan kompaun, tidak kira amaun kompaun yang dikenakan tersebut bernilai RM1,000 atau RM10,000.