Skip to content

Peningkatan kes bunuh diri kerana kemusnahan ekonomi disebabkan oleh sekatan Perintah Kawalan Pergerakan menyangkal dakwaan Annuar Musa mengenai kejayaan PN dalam menguruskan pandemik COVID-19

Ada yang bermasalah mengenai mentaliti Menteri Kabinet dalam Kerajaan PN yang gagal ini, ketika Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa boleh mendakwa bahawa rakyat tidak lagi takut dengan Covid-19, adalah petunjuk bahawa kerajaan telah berjaya menguruskan wabak tersebut. Seluruh dunia, termasuk National Geographic (NatGeo), telah menggambarkan pengurusan pandemik Covid-19 Malaysia sebagai satu kegagalan dengan jumlah tertinggi jangkitan dan kematian setiap hari.

Akibat kegagalan usaha Kerajaan PN, Yang DiPertuan Agong juga telah mengambil langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk memanggil pemimpin parti pembangkang untuk perbincangan bersemuka seorang demi seorang mengenai bagaimana untuk menangani pandemik global ini, krisis ekonomi berlaku berikutnya dan ketidakstabilan politik. Sekiranya para Menteri PN masih terus melawan fakta dan angka dengan menganggap pengurusan mereka terhadap pandemik COVID-19 sebagai kejayaan, maka Kerajan PN bukan hanya tidak berfungsi dan terputus dari realiti, tetapi Malaysia menghadapi masa depan yang gelap tidak terjangkal oleh akal.

Pernyataan mengejutkan ini lebih membimbangkan saya, setelah memberikan bantuan kewangan kepada keluarga seorang lelaki yang sedang berduka kerana lelaki tersebut membunuh diri di Bagan (Butterworth) disebabkan masalah kewangan kerana kelembapan ekonomi akibat sekatan PKP. Kes bunuh diri telah meningkat lebih daripada 20%, dan di Pulau Pinang sahaja untuk lima bulan pertama, terdapat 53 kematian akibat bunuh diri. Peningkatan kes bunuh diri akibat masalah ekonomi yang disebabkan oleh sekatan PKP menyangkal dakwaan Annuar Musa mengenai kejayaan PN dalam menguruskan wabak COVID-19.

Dalam satu forum yang dianjurkan oleh Harakah Daily, Annuar berkata bahawa rakyat tidak takut dengan Covid-19, yang bermaksud bahawa ada yang berpendapat ini bukan wabak. Pernyataan dangkal itu bukan sahaja salah tetapi menyeleweng dari segi sains dan data. Rakyat Malaysia sangat takut dengan 716,847 jangkitan kumulatif yang mengerikan dan jumlah kematian 4,721 yang lebih tinggi daripada China, sehingga mereka sangat terdesak untuk mendapatkan vaksin dengan segala apa cara yang mungkin.

Semua yang telah dilakukan oleh Kerajaan PN telah gagal dari menguatkuasakan sekatan PKP secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih, hingga perolehan awal dan mendapatkan penghantaran vaksin dengan cepat. Tidak ada keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kemampuan Kerajaan PN dalam menangani pandemik ini.

Cubaan Annuar Musa untuk memusing fakta terhadap kegagalan teruk mereka sebagai kejayaan mengingatkan kita kepada ucapan menyeleweng Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali semasa pilihan raya kecil Slim pada 23 Ogos 2020. Azmin telah menyatakan bahawa nasib baik PN berkuasa kerana lebih ramai rakyat akan mati akibat COVID-19 sekiranya PH masih menjadi kerajaan.

Azmin jelas berbohong. Pada 23 Ogos 2020, jumlah kematian kumulatif adalah 125 dengan 9,267 kes. Pada 24 Jun 2021, jumlah kematian meningkat kepada 4,721 dengan jumlah kumulatif 716,847 kes. Sejak 23 Ogos 2020, 4,596 lagi rakyat Malaysia telah meninggal dunia akibat ketidakcekapan dan salah urus pandemik COVID-19 oleh Kerajaan PN. Sudah tentu, tidak ada permintaan maaf atau penyesalan dari Azmin kerana membuat pernyataan yang tidak berasas dan jelek itu.

Annuar Musa jelas tidak layak untuk memegang jawatan sebagai Menteri dengan mengabaikan kehilangan nyawa disebabkan COVID-19, kehilangan mata pencarian berjuta-juta rakyat Malaysia akibat kemelesetan ekonomi yang berlaku, dan mereka yang kehilangan nyawa akibat kehilangan mata pencarian.