Baru-baru ini tular isu berkenaan tindakan tegas yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan ke atas seorang guru matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli. Mereka yang menyuarakan kebenaran sering disuruh untuk senyap dan di sini dapat dilihat apa yang lebih penting adalah air muka sesebuah institusi dan bukan cela di dalam sistem yang semakin hari, semakin bobrok.
Apa yang dinyatakan oleh Cikgu Fadli adalah perkara yang sekian lama dibincangkan, bahkan isu kelemahan sistem pendidikan kita sudahpun menjadi topik perbualan harian ibu bapa kita semenjak dahulu lagi. Mari bandingkan dua kes masyhur yang melibatkan sistem pendidikan negara kita. Dua kes ini sudah memadai sebagai ilustrasi betapa pincangnya sistem pendidikan negara. Seorang guru yang tidak hadir bekerja selama 15 bulan, pada 2011 dan 2012, tetapi hanya dipecat 7 tahun kemudian. Pada 2018 pula, seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah Sabah disaman oleh para pelajarnya kerana beliau gagal hadir ke sekolah untuk mengajar selama 7 bulan pada tahun 2015.
Sekiranya kita lihat isu ini dengan teliti, banyak aspek sistem negara kita yang memerlukan pembaharuan segera, daripada sistem kesihatan, sistem kebajikan sehinggalah ke institusi kepolisian. Saban tahun, apa yang sering diberitahu kepada orang umum adalah, kajian dan perbincangan oleh kerajaan untuk mengatasi sesebuah masalah dijalankan, namun di hujungnya, tiada usaha-usaha konklusif untuk membetulkan masalahnya. Di pihak kementerian pula, menteri berganti menteri, pengarah berganti pengarah, namun begitu prestasi kerajaan kita masih berada dalam tahap yang sangat membimbangkan.
Perdana Menteri sementara Ismail Sabri dan penyandang Menteri Pendidikan Mohd Radzi berebut-rebut mahu mendengar pandangan Cikgu Fadli tentang cara menambah baik sistem pendidikan di sekolah rendah hanya selepas cadangannya dan pemecatannya yang bakal berlaku tular di laman Facebooknya. Saya yakin dan pasti tahun-tahun yang sudah, berpucuk-pucuk surat telah dihantar oleh guru-guru di seluruh pelusuk negara meminta perkara-perkara yang membebankan sistem pendidikan namun malangnya kebanyakan rintihan dan aduan ini diendahkan.
Kini, penjawat awam lain boleh mencontohi Cikgu Fadli dengan memberi kritikan dan maklum balas kepada pihak berkuasa di media sosial. Mungkin juga cara ini lebih efektif dan mungkin juga perubahan serta pencapaian para jabatan kerajaan menjadi lebih cepat.