Walaupun Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerima banyak kecaman, rakyat marhaen nampaknya tidak ada pilihan selain menerima sahaja penjelasan yang diberikan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang menyebut bahawa wang berjumlah hampir RM1 juta dirampas pihak berkuasa Australia milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd adalah bersih dan suci belaka.
Tidak kisahlah kalau KPN gagal menjelaskan kepada rakyat marhaen kenapa Wan Ahmad menggunakan suatu cara yang aneh melalui seorang warga asing untuk melakukan beberapa pendepositan secara berstruktur sebanyak kurang AUD10,000 ke akaun banknya di beberapa wilayah di seluruh Australia.
Juga tidak menjadi isu kepada KPN bahawa rakan sejawatnya di Australia mengesyaki bahawa wang yang disalurkan ke akaun Wan Ahmad mungkin turut bercampur dengan wang kotor hasil jenayah. Ini kerana mahkamah kita akan mengambil maklum bahawa Wah Ahmad telah dibersihkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Apa yang aneh bagi saya ialah Wan Ahmad langsung tidak berusaha untuk menuntut semula wang hasil kerja kerasnya untuk pendidikan anak-anak beliau daripada kerajaan Australia kerana katanya tindakan undang-undang di sana adalah terlalu mahal. Kenapa beliau memilih untuk kehilangan sejumlah AUD320,000 daripada mendapatkan khidmat peguam ‘No-Cure, No-Pay’ di sana untuk menuntut semula wangnya?
Beliau patut tiada masalah untuk mendapatkan peguam sedemikian sekiranya beliau boleh bersetuju untuk membayar 50% atau lebih daripada jumlah AUD320,000 tersebut sebagai bayaran guaman, selepas berjaya menuntut wang itu. Mungkin beliau memiliki banyak lagi wang di akaun-akaun lain di luar negara, dan kehilangan AUD320,000 ini langsung tidak menggugat rancangan pendidikan anak-anaknya?
Penjelasan Bukit Aman dan Menteri Dalam Negeri bahawa “Wan Ahmad tidak bersalah kerana beliau naif tentang undang-undang Australia, wang terbabit dimasukkan atas kesilapan, tanpa pengetahuannya dan tanpa niat jahat” adalah sesuatu yang mengejutkan.
Apa rakyat yang naif seperti Wan Ahmad perlu memahami ialah pihak berkuasa Malaysia kini menggunakan satu prinsip undang-undang baharu bahawa kejahilan tentang undang-undang boleh menjadi alasan dan pihak tertuduh boleh mengelak pendakwaan dengan mengaku tidak tahu bahawa tindakannya menyalahi undang-undang termasuk undang-undang negara asing.