Skip to content

Penjelasan Terhadap Dakwaan Berkaitan Perjanjian Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat dan Kepentingan Sabah

Beberapa pemimpin Sabah baru-baru ini mendakwa bahawa Malaysia-US Agreement on Reciprocal Trade (ART 2025) atau Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia- Amerika Syarikat “hanya menguntungkan Semenanjung Malaysia” dan “membelakangkan Sabah serta Sarawak.”

Saya menghormati pandangan yang dibangkitkan, namun ingin dengan penuh hormat menyatakan pendirian berbeza dalam perkara ini. Tanggapan sedemikian tidak mencerminkan tujuan sebenar serta manfaat menyeluruh perjanjian tersebut, yang bersifat nasional dan inklusif.

Perjanjian perdagangan ini tidak terhad kepada mana-mana wilayah tertentu, malah tidak sama sekali mengecualikan Sabah atau Sarawak. Adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa perjanjian ini menjejaskan kepentingan Sabah.

Pertama, senarai pengecualian tarif merangkumi sebanyak 1,711 produk Malaysia daripada pelbagai sektor termasuk minyak sawit, getah, kayu, koko dan produk hiliran lain — kesemuanya merupakan komoditi utama yang banyak disumbangkan oleh Sabah dan Sarawak.

Sabah kekal sebagai pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar negara dengan pengeluaran sebanyak 4.27 juta tan pada tahun 2024, bersamaan 22.1% daripada jumlah pengeluaran nasional. Di bawah ART 2025, eksport minyak sawit mampan dan produk berasaskan koko dari Sabah akan menikmati akses pasaran yang lebih luas ke Amerika Syarikat.

Sektor-sektor ini digerakkan oleh pekebun kecil dan koperasi di Sabah dan Sarawak — golongan yang sentiasa mendapat perhatian Kerajaan MADANI melalui pelbagai inisiatif seperti Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), dan program galakan penanaman koko.

Kedua, dakwaan bahawa import gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat akan “menjejaskan” operasi di Kimanis atau Bintulu juga tidak berasas.
Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Petronas telah sekian lama mendapatkan bekalan LNG daripada pelbagai rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, jauh sebelum pengumuman tarif terbaharu.

Kontrak import ini merupakan sebahagian daripada strategi pengimbangan bekalan tenaga negara, dan bukannya penggantian kepada operasi sedia ada di Sabah dan Sarawak. Fasiliti LNG di Kimanis dan Bintulu kekal sebagai aset strategik negara yang menyumbang berbilion ringgit kepada hasil Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Hakikatnya, Sabah tidak pernah diketepikan dalam diplomasi perdagangan Malaysia. Negeri ini semakin memainkan peranan penting dalam pelbagai misi antarabangsa dan rundingan dua hala, termasuk dalam bidang komoditi, tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi digital.

Sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, serta sebelum ini sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (2022-2023), saya sendiri telah mengetuai beberapa delegasi ke China dan pasaran ASEAN bagi mempromosikan produk Sabah di peringkat antarabangsa.

Tidak dinafikan, eksport Sabah masih banyak bergantung kepada agrikomoditi seperti minyak sawit, getah, kayu dan koko. Namun, daripada menimbulkan polemik atau menafikan manfaat perjanjian perdagangan ini, fokus utama seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh pembangunan industri negeri melalui kerjasama dan tindakan nyata.

Persoalannya, bukan sama ada Sabah diketepikan, tetapi bagaimana kita memperkasa Sabah agar menjadi hab eksport dan negeri pengeluaran bernilai tambah di bawah perjanjian perdagangan antarabangsa ini.

Daripada melihat Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat sebagai “zero¬sum game”, para pemimpin di semua peringkat seharusnya berganding bahu memastikan Sabah tidak akan terlepas peluang eksport dan pelaburan yang terhasil daripada perkongsian strategik ini.