Sudah menjadi satu perkara yang sangat membimbangkan apabila seorang lelaki yang dikehendaki polis di bawah akta keras seperti SOSMA, serta memiliki rekod jenayah lain, boleh begitu bebas berkeliaran di sekitar Bandar Diraja Klang. Persoalan yang tidak dapat dielakkan ialah, adakah pihak polis langsung tidak mengetahui keberadaannya sebelum dia ditembak mati oleh tiga suspek lain? (Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/756631/berita/semasa/polis-berkas-tiga-lelaki-kes-tembak-di-stesen-minyak)
Andainya seorang individu yang tercatat dalam senarai ‘wanted’ boleh hidup sebebas ini di tengah-tengah bandar, ia secara tidak langsung mendedahkan kelemahan yang nyata dalam operasi dan risikan polis. Situasi ini bagaikan membuka kotak Pandora, lalu menimbulkan tanda tanya: berapa ramai lagi penjenayah yang sedang dikehendaki oleh pihak berkuasa, tetapi masih bebas menjalani kehidupan harian mereka seperti orang biasa di seluruh negara?
Kejadian ini bukan sekadar satu insiden jenayah yang terpencil, tetapi mendedahkan betapa lemahnya penguatkuasaan undang-undang ketika ini. Rakyat berhak untuk merasa selamat, dan berhak mendapat penjelasan yang meyakinkan tentang bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku. Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menambah keraguan dan mengurangkan kepercayaan rakyat.