Skip to content

Penolakan Perikatan Nasional Terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Peruntukan Kawasan Ahli Parlimen Menunjukkan Perikatan Nasional Mengorbankan Kepentingan Negara Demi Kepentingan Politik

Penolakan Perikatan Nasional terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan menunjukkan bahawa Perikatan Nasional lebih mementingkan permainan politik dan sanggup mengorbankan kepentingan negara dan rakyat.

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa dan telah komited dalam memberi layanan secara adil kepada semua kawasan, termasuklah kawasan parlimen yang dimenangi oleh pihak pembangkang. Semua kawasan parlimen akan diberikan peruntukan kawasan Ahli Parlimen dengan syarat Perikatan Nasional bersetuju menandatangani MoU dengan Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, YB Datuk Seri Takiyuddin Bin Hassan telah menyatakan bahawa pihak pembangkang telah disyaratkan dalam MOU ini untuk pengisytiharan harta oleh Ahli Parlimen, tidak memainkan isu 3R, dan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Syarat-syarat ini adalah kehendak rakyat di mana ia berkaitan dengan integriti seseorang Ahli Parlimen dan juga merupakan syarat asas untuk menstabilkan politik negara serta memajukan ekonomi negara. Penolakan pihak pembangkang terhadap syarat-syarat MoU ini dengan alasan yang tidak berasas seperti MoU ini akan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di bawah Perlembagaan Persekutuan, bertentangan dengan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan hanya membuktikan bahawa Perikatan Nasional tidak mempedulikan kepentingan negara dan rakyat serta merupakan pihak pembangkang yang tidak bertanggungjawab,

Saya ingin menjelaskan bahawa Memorandum Persefahaman (MoU) adalah satu dokumen yang menunjukkan kesepakatan kehendak dua pihak dalam sesetengah isu dan tidak merupakan satu Akta. Ia tidak akan mempengaruhi atau mengatasi hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mahupun apa-apa undang-undang negara kita. Di samping itu, Ahli Parlimen mempunyai kekebalan dalam Parlimen justeru kebebasan bersuara ahli Parlimen tidak akan tergugat hanya kerana satu MoU peruntukan!

Adalah amat tidak bijak bagi pihak pembangkang yang mendakwa syarat-syarat MoU akan mempengaruhi hak kaum dan nilai-nilai budaya dan moral. Pada tahun 2021, bagi menyelesaikan krisis politik, PH sebagai pihak pembangkang juga telah menandatangani MoU dengan kerajaan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri untuk memulihkan kestabilan politik negara. Ini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional hanya ingin terus memainkan isu perkauman dan mengorbankan kepentingan negara dan rakyat demi kepentingan politik mereka sendiri.