Adakah hakim-hakim negara kita mempunyai imuniti tertentu yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak? Inilah persoalan yang timbul apabila usul yang dibawa di bawah Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan tidak dapat melintasi ruang tengah di Dewan Rakyat pada minggu lepas. Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin telah menolak usul yang dibawa Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.
Usul yang dibawa itu adalah bertujuan membahaskan perilaku tiga orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wali dan Datuk Zawawi Salleh. Usul yang berpaut dengan kes liwat II yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak oleh Speaker dengan alasan usul kerajaan perlu didahulukan. Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan kepada semua Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Perkara yang dibawa itu adalah satu isu yang mustahak iaitu mengenai perilaku hakim-hakim Mahkamah Rayuan. Kita tidak boleh membincang atau membahaskan perkara ini secara sewenang-wenangnya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain di negara ini tidak memberi ruangan untuk berbuat demikian. Ini adalah penting untuk menjaga martabat dan keunggulan badan kehakiman supaya sentiasa dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Kekebalan yang diberikan oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan itu boleh dileburkan melalui Perkara yang sama dengan syarat-syarat tertentu.
Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan :
‘Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri’
Perkara ini jelas menyatakan kelakuan hakim-hakim tidak boleh bahaskan oleh Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara secara sewenang-wenangnya. Ini adalah penting untuk menjamin wujudnya pengasingan kuasa diantara badan legislatif dan badan kehakiman.
Walau bagaimanapun Perkara yang sama juga memberi pengecualian kepada doktrin itu dengan mengenakan satu syarat yang cukup unik. Usul khusus yang diberi notis oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada Ahli Majlis itu membolehkan perkara ini dibahaskan di Parlimen. Pengecualian ini adalah penting untuk menjamin unsur semak dan imbang (check and balance) dalam sistem demokrasi berparlimen ini.
Perkara 127 ini telah memberi ruangan kepada Parlimen untuk membincangkan isu-isu berkenaan dengan perilaku dan kelakuan hakim-hakim di negara kita. Tetapi, apabila Parlimen pula tidak berani untuk membahaskan perkara ini, maka ini akan menghilangkan kedaulatan institusi itu dan mencemarkan Perlembagaan Persekutuan. Kewibawaan sistem demokrasi berparlimen pasti akan luntur dan tergugat.
Apabila Ahli-ahli Parlimen tidak berani mempertahankan kedaulatan Parlimen dan keluhuran Perlembagaan, ini akan melemahkan badan legislatif itu sendiri dan menguatkan kekebalan cabangan kehakiman dan eksekutif. Perkara 127 itu memberi hak keistimewaan kepada Ahli-ahli Parlimen membahaskan perilaku hakim-hakim dengan syarat dipersetujui dan disokong oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada Ahli-ahli Majlis itu. Ini adalah hak tertentu yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan boleh dicabar oleh mana-mana pihak mahupun undang-undang lain.
Oleh yang demikian, Usul Khusus yang dibawa oleh Ahli Parlimen Gombak dengan sokongan yang ditandatangani oleh 63 Ahli Parlimen yang lain itu telah mencukupkan syarat perlembagaan. Maka, tidak patut wujud apa-apa alasan lain untuk menolak usul ini. Penolakan usul boleh dianggap bercanggah dan menghina Perlembagaan Persekutuan. Usul khusus ini harus diberi keutamaan dan perlu didahululan mengatasi apa jua peruntukan dalam peraturan mesyuarat. Kegagalan Dewan Rakyat untuk membahaskan isu penting yang melibatkan hakim-hakim ini telah melumpuhkan Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan.