Baru-baru ini, desas-desus mengatakan bahawa terdapat seorang pensyarah UiTM yang telah dipaksa untuk meletakkan jawatan kerana perbuatan beliau meluluskan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Democratic Action Party (DAP). Tindakan ini amat dikesali kerana ia membelakangi hak kebebasan berakademik yang sepatutnya wujud di institusi pendidikan tinggi.
Kebebasan akademik, lebih-lebih lagi di tahap institusi pendidikan tinggi adalah penting untuk diperjuangkan bagi mengembangkan minda pelajar sekaligus memberikan mereka pendedahan terhadap naratif-naratif politik yang wujud di Malaysia. Akses kepada pihak pembangkang juga tidak boleh disekat kerana institusi pendidikan tinggi di Malaysia seharusnya menghormati pendirian politik para pelajar.
Sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kebebasan akademik diangkat dan telah melakar sejarah baru dengan membenarkan pihak pembangkang pada waktu itu untuk menjalankan aktiviti politik mereka di kawasan kampus institusi pendidikan tinggi. Perkara seperti ini sewajarnya diteruskan kerana ia mengajar generasi muda kita untuk menilai dengan sendiri landskap politik di Malaysia.
Tindakan memaksa pensyarah tersebut untuk meletakkan jawatannya dek kerana meluluskan lawatan ke pejabat parti pembangkang hanya menunjukkan institusi tersebut masih berada di takuk lama dan tidak boleh menerima perbezaan politik.
Parti DAP adalah sebuah parti politik yang diluluskan dan dibenarkan untuk menjalankan aktiviti politik di bawah kawal selia Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Tambahan pula, parti DAP adalah sebuah parti yang kaya dengan sejarah kerana parti ini sudah beroperasi selama 55 tahun lamanya.
Wakil-wakil dari parti ini juga pernah menjadi sebahagian dari kerajaan. Kebanyakkan daripada mereka memegang jawatan yang bukan calang-calang. Jawatan disandang antaranya adalah menteri, timbalan menteri, ahli parlimen, ketua menteri, exco negeri, ahli dewan undangan negeri dan ahli majlis.
Sekian lama, parti DAP telah dimomokkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai sebuah parti yang cauvinis. Persoalan yang wajar diajukan di sini adalah adakah pihak universiti tersebut akan melakukankan hal yang sama sekiranya para pelajar tersebut dibenarkan untuk melawat ibu pejabat parti Malaysian Chinese Association (MCA), sebuah parti politik yang ahlinya 100% bangsa Cina?
Diharapkan pensyarah tersebut tidak dikenakan sebarang tindakan dan sama-sama kita memperkasakan kebebasan berakademik di Malaysia. Harus kita ingat, institusi pendidikan tinggi adalah tempat untuk membentuk jati diri pelajar supaya lebih utuh dan teguh.