Skip to content

Penubuhan Pejabat Bajet Parlimen untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan

Sudah sampai masanya Parlimen ini menubuhkan sebuah majlis fiskal bebas yang dikenali sebagai Pejabat Bajet Parlimen ataupun “Parliamentary Budget Office” untuk membolehkan dasar-dasar kerajaan mahupun pembangkang dianalisa, dinilai dan dikoskan dengan lebih jitu.

Institusi sebegini telah wujud di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Canada, UK, Sweden, Afrika Selatan, Korea Selatan, Australia dan banyak lagi.

Saya memetik Parlimen Australia yang mentakrifkan peranan Pejabat Bajet Parlimen sebagai “to inform the Parliament by providing independent and non-partisan analysis of the budget cycle, fiscal policy and the financial implications of proposals” (Sumber: http://www.aph.gov.au/About_Parliament/Parliamentary_Departments/Parliamentary_Budget_Office/role)

Pada masa ini, pembangkang dan orang awam termasuk penyelidik akademik secara amnya tidak dapat mengakses data dan maklumat-maklumat fiskal yang penting bagi membuat penilaian ekonomi terhadap dasar-dasar serta Bajet kerajaan, ataupun bagi urusan mengemukakan dasar-dasar alternatif dan Bajet Alternatif. Dalam Bajet yang dikemukan oleh kerajaan pula, ada banyak perkara yang tidak dimasukkan dalam bajet yang dikenali sebagai “Off-Bajet Items” dan “Off-Balance Sheet Items”. Ini akan merumitkan penilaian Bajet tersebut.

Dengan adanya Pejabat Bajet Parlimen yang bebas dan berkecuali, maka setiap Ahli Parlimen boleh mendapatkan analisa tentang anggaran perbelanjaan, serta kos kewangan terhadap sebarang dasar dan perundangan yang dikemukakan di Parlimen. Ini sudah tentu akan membantu Ahli-ahli dalam Dewan yang mulia ini dalam melaksanakan tugas-tugas kita bagi menelitikan sebarang urusan berkaitan wang rakyat.

Sukacita saya meletak dalam rekod bahawa, mantan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Ahli dari Pulai yang kini menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri juga pernah mencadangkan penubuhan institusi Pejabat Bajet Parlimen ini. Saya berharap kini beliau sebagai ahli dalam Bahagian Eksekutif akan merealisasikan cadangan tersebut. (Sumber: http://www.bfm.my/current-affairs-parliament-strengthening-budget-oversight.html)