SPR telah menjalankan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2016 (RDPT 2016/3) pada 18 November hingga 1 Disember 2016.
Sesiapa yang berdaftar dengan SPR atau wakil-wakil SPR pada bulan Jun hingga September yang lalu akan disenaraikan dalam RDPT tersebut. Orang awam bolehlah membuat semakan, tuntutan atau bantahan ke atas RDPT tersebut dalam tempoh pameran RDPT selama 14 hari.
Sebanyak 93,324 pendaftaran dijalankan di negeri Johor pada suku tahun yang lepas, antaranya sebanyak 68,985 pendaftaran pemilih baru, 9,615 pendaftaran tukar alamat dan selebihnya pendaftaran pemotongan. Angka ini agak luar biasa sekiranya dibandingkan dengan pendaftaran bagi suku-suku tahun sebelum ini.
Sejak suku tahun pertama 2015, kedua-dua DUN Mahkota dan Mengkibol di bawah Parlimen Kluang telah mencatatkan pertumbuhan bilangan pemilih yang pesat, iaitu 3817 (baru) dan 1244 (tukar alamat) untuk DUN Mahkota dan 3382 (baru) dan 474 (tukar alamat) untuk Mengkibol.
Untuk suku ketiga baru-baru ini, pertambahan pemilih sangat mendadak. Ramai pemimpin politik termasuk Tun M sudah memberi komen tentang fenomena pertambahan mendadak ini, saya tidak perlu menambah.
Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah fenomena pendaftaran pertukaran alamat yang luar biasa di beberapa kawasan di Johor.
Sejak 2015, kawasan DUN berikut melihat pendaftaran pertukaran alamat yang begitu tinggi:
– Nusajaya: 2,857
– Puteriwangsa: 2,941
– Permas: 2,156
– Mahkota: 1,244
Di Nusajaya, Puteriwangsa dan Permas yang terletak di kawasan metropolitan Johor Bahru, mungkin pendaftaran pertukaran alamat didorong oleh urbanisasi di mana ramai penduduk luar bandar pindah masuk ke kawasan tersebut.
Tetapi, saya agak hairan dengan bilangan pemilih yang berpindah masuk ke DUN Mahkota, di bandar Kluang. Setahu saya, hampir semua kawasan perumahan baru yang besar-besaran berada di kawasan Mengkibol, bukannya Mahkota.
Akan tetapi, untuk suku tahun baru ini, bilangan pendaftaran tukar alamat di DUN Mahkota adalah sebanyak 284 orang, jauh melebihi Mengkibol iaitu 98 orang. Daripada 284 orang pemilih yang berpindah masuk ke DUN Mahkota, didapati lebih separuh berasal dari alamat DUN Mengkibol.
Ada orang dalaman yang fasih dengan perjalanan strategi pilihan raya telah menarik perhatian saya akan perpindahan pemilih dari Mengkibol ke Mahkota yang besar-besaran.
Sebagai latar belakang, dalam PRU-13, kawasan Mahkota dimenangi oleh YB Md Jais Sarday di bawah tiket BN-UMNO, dengan majoriti yang sangat tipis iaitu 1,128 Undi. Kawasan Mengkibol dimenangi DAP dengan majority 10,001 undi.
Justeru, saya telah menjalankan lawatan rumah ke rumah pada awal minggu ini di beberapa kediaman pemilih yang telah mendaftarkan pertukaran alamat ke DUN Mahkota.
Saya memilih 10 sampel secara rawak dari jumlah lebih 100 pemilih yang berpindah dari Mengkibol ke Mahkota. Hasil kajian saya ialah, tujuh daripada sepuluh pemilih yang didaftarkan alamat baru di DUN Mahkota tidak dapat dikesan.
Apabila saya berkunjung ke alamat yang berdaftar mengikut RDPT, rumah tersebut tidak didiami oleh pemilih yang dikatakan telah berpindah ke situ. Maklumat terperinci hasil kajian ini akan didedahkan lagi pada tempoh masa terdekat. Setakat ini, adalah cukup jelas bahawa terdapat irregularities yang harus disiasat.
Saya gesa YB Mahkota Md Jais agar terus memberi perhatian kepada perkara ini. Sudah tentu beliau ingin tahu, kerja siapakah yg memindahkan ratusan pemilih tiap-tiap suku dari DUN Mengkibol ke DUN Mahkota?
Demi pilihan raya yg adil dan bersih, saya akan terus menyiasat perkara ini dengan melibatkan usaha NGO dan Rakyat tempatan. Saya akan menubuhkan sebuah inisiatif demokrasi tempatan di Kluang untuk menumpukan perhatian pada audit senarai pemilih. Sasarannya ialah inisiatif ini dapat berkembang ke seluruh Johor sebelum PRU akan datang.