Skip to content

Penurunan harga minyak dunia beri kesan kepada belanjawan negara.

Kita sedia maklum bahawa belanjawan 2015 berjumlah RM273.9 bilion yang dibentangkan pada 10 Oktober tahun lalu di parlimen telah dibuat berdasarkan unjuran harga minyak mentah pada kadar USD 100 satu tong tahun lalu

Harga minyak kelmarin merudum sehingga USD46.99 satu tong, melampaui 50% daripada apa yang diharapkan kerajaan. Harga minyak dunia kini adalah yang terendah sejak April 2009.

Kita risau bahawa kesan daripada penurunan harga minyak ini akan menjejaskan pengurusan dan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya belanjawan tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan seharusnya memberitahu kita apa sebenarnya kesan kejatuhan harga minyak ini terhadap ekonomi negara.

Dalam pembentangan belanjawan 2015 tahun lalu, kerajaan menjangkakan pengutipan pulangan mencecah RM235.2 bilion, dengan 30% daripadanya dijana daripada keuntungan hasil minyak.

Dengan kejatuhan lebih 50% harga minyak hari ini, Najib sepatutnya mengadakan sidang parlimen khas bagi mengemukakan apa perancangannya bagi menangani keadaan tersebut; bertepatan dengan cadangan Credit Suisse semalam supaya Malaysia menyemak semula belanjawannya. (http://www.themalaysianinsider.com/business/article/malaysia-needs-to-revise-budget-2015-says-credit-suisse)

Credit Suisse menjangkakan sukar bagi negara mengurangkan defisit belanjawan sehingga 3% tahun ini lantaran perubahan harga minyak mendadak yang menjadi sandaran unjuran ekonomi negara.

Dalam keadaan begini, Perdana Menteri dan pihak kabinet tidak boleh mengambil sikap sambil lewa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dalam keadaan krisis ekonomi yang bakal menjelang ini.

Barang diingat, perbelanjaan terbesar dalam belanjawan 2015 adalah perbelanjaan mengurus yang termasuk gaji para penjawat awam yang berjumlah RM65.6 bilion. Perdana Menteri mesti memberi jaminan kepada penjawat awam bahawa gaji, elaun, caruman KWSP, pencen dan sebagainya tidak akan terjejas akibat perkembangan ini.

Seandainya beliau gagal menangani situasi yang kian meruncing ini, Najib seharusnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan melantik seseorang yang lebih layak untuk mengemudi ekonomi negara dalam keributan ekonomi ini.